MENU

IPOH: Kerajaan Perak mahu penduduk rumah pangsa Taman Pertama Buntong di sini, menubuhkan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi mengatasi isu timbunan sampah sarap dan keselamatan di kawasan berkenaan.  

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambri Abd Kadir berkata, ia langkah awal bagi memastikan penghuni rumah pangsa berusia 30 tahun itu bertanggungjawab dan bekerjasama menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.

Katanya, mendukacitakan apabila melihat timbunan sampah sarap yang keterlaluan dan sikap penduduk yang langsung tidak prihatin dengan masalah berkenaan.

"Sangat mengejutkan apabila melihat kawasan perumahan itu seperti tempat pembuangan sampah. Sampah bukan hanya di dalam corong pembuangan sampah, tetapi merata-rata kawasan.

"Kita tidak mahu menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak, tetapi semua termasuk wakil rakyat perlu bekerjasama dan bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan kerja di program gotong-royong di rumah pangsa berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Zambry berkata, tindakan lawatan dan program pembersihan dilaksanakan di kawasan berkenaan selepas menerima maklum balas menerusi laporan di media sosial dan orang ramai. 

Katanya, masalah perumahan itu tidak hanya berkaitan sampah-sarap, tetapi turut membabitkan pelbagai faktor seperti sosial, kejiranan dan keselamatan.

"Kita akan duduk bersama ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya untuk melihat dan menyelesaikan masalah ini secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata, walaupun kawasan itu difahamkan dalam kawasan persendirian, masalah yang dikenal pasti tetap akan memberi kesan kepada masyarakat setempat. 

"Dimaklumkan terdapat 280 unit kediaman dengan hanya 127 rumah berpenghuni. Sebahagian lagi kosong dan terbiar," katanya. 

kredit : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/371689/tubuh-jawatankuasa-tangani-isu-sampah-sarap%C2%A0-zambry