MENU

IPOH: S Pavithra, 28, akan diumumkan sebagai antara 100 Ikon Anak Bandaraya Ipoh atas kejayaannya membuat video blog masakan di YouTube sehingga mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata selain anak kelahiran Buntong itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengenal pasti kesemua 10 nama anak kelahiran Ipoh terawal yang akan menerima pengiktirafan sama.

Katanya MBI akan mengumumkannya secara berperingkat dan apabila 100 senarai itu telah siap, ianya akan dibukukan bagi rujukan generasi masa akan datang.

“Perkara ini masih dalam peringkat jawatankuasa teknikal dan kita sedang mencari individu berjaya ini yang sejak kurun ke-20 sehingga tahun 2021 di Ipoh.

“Setakat ini 10 nama telah dikenal pasti. Kesemua mereka anak Bandaraya Ipoh yang berjaya memberi sumbangan kepada negara,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Tambah beliau, nama-nama individu tersebut dijangka akan diumumkan pada Mei tahun hadapan bersempena dengan Sambutan Hari Bandaraya MBI.

Katanya sebagaimana pengiktirafan kepada pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh sebelum ini, kesemua 100 individu yang akan disenaraikan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang seni, pendidikan, dan agama.

“Nama-nama ini akan disenarai pendek oleh satu jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan saya.

“Mereka ini anak Ipoh yang telah memberi sumbangan kepada sekurang-kurangnya peringkat negara dan antarabangsa,” ujarnya.

Pavithra dan suaminya M Sugu, 29, mula berjinak-jinak sebagai ‘YouTuber’ menggunakan nama saluran ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu.

Dia kini sudah mempunyai lebih 400,000 pengikut itu sekali gus menjadikan mereka sebagai Rakan YouTube.

Pada Mei lalu, Pavithra dilaporkan menerima hadiah daripada Pejabat Perdana Menteri berupa tripod, ketuhar gelombang mikro, ketuhar dan barang masakan

Mengulas tentang Ikon Anak Bandaraya Ipoh, Pavithra berasa terharu terhadap pengiktirafan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan semua. Terima kasih juga atas mereka yang telah memberikan semangat dan sokongan terhadap apa yang kami lakukan ini,” katanya.