MENU

3 September 2020 - MBI amat berbangga dengan warganya, Cik Saidatul Atiqa Md Isa, 31tahun dari Bahagian Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Kesihatan & Perkhidmatan Perbandaran serta Cik Nur Adilla Abu Hassan, 38 tahun dari Pejabat Pengarah Tanah & Galian Negeri Perak untuk mencatat nama mereka di dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai wanita pertama berkayak secara solo sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Mereka menyasarkan untuk berkayak dari Tasik Banding ke Beting Beras Basah, Bagan Datuk sejauh 350km (Pn. Adilla) dan mengelilingi Danau Toba, Sumatra, Indonesia sejauh 200km (Cik Atiqa).

Dengan bantuan pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Kassim sebagai jurulatih, kini mereka berada pada fasa akhir latihan yang membawa mereka mengelilingi Pulau Pangkor bertujuan untuk menunjuk ajar morfologi lautan seperti pasang-surut air, haluan kapal atau bot nelayan, arah gelombang ombak, survival laut, dayungan kecemasan waktu malam.

Menurut Murad Mohd Kassim, walaupun kedua-dua wanita ini aktif dalam aktiviti mendaki gunung dan ekspidisi kayak jarak jauh, mereka masih perlu untuk membuat persediaan berbulan-bulan.

Menurut Datuk Bandar, beliau amat berbangga dengan komitmen kedua-dua mereka ini khususnya warga MBI di atas komitmen untuk mengharumkan nama MBI, negeri Perak dan Malaysia.

Beliau juga berharap kedua-dua mereka ini akan memperolehi kejayaan serta menjadi pendorong dan inspirasi kepada warga MBI dan wargakota Ipoh dalam mengharumkan nama MBI, Ipoh, Perak dan Malaysia.