MENU
 
4 September 2020 - Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat MBI 1442H/2020M meraih pagi tadi dengan kehadiran lebih 300 warga MBI yang terdiri daripada Datuk Bandar, Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan, pegawai dan anggota.
 
Penganjuran program yang julung-julung kalinya diadakan ini adalah untuk menyemarakkan lagi syiar Islam di Bandaraya Ipoh disamping mengartkan hubungan silaturrahim sesama warga MBI yang beragama Islam.
 
Menurut Dato' Rumaizi Baharin @Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Sambutan Maal Hijrah yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini bukan sekadar mengajak kita untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik tetapi juga untuk memantap dan memperkukuh ikatan ukhuwah sesama warga MBI yang beragama Islam.
 
Menurut beliau lagi, pemantapan hubungan sesama warga MBI yang beragama Islam akan menjamin terbinanya satu kekuatan ummah yang boleh menunjangi pembangunan Bandaraya Ipoh.
Encik Shaharuddin bin Abu dari Jabatan Kawalan Bangunan dan Puan Maizan bin Mohamad dari Jabatan Perancang Bandar telah diumumkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 1442H/2020M. Sebelum itu, Ustaz Radzi Kamarul Hailan, bekas juara Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa telah mengalunkan bacaan Al-Quran dan doa selawat serta dendangan nasyid dan selawat dari Kumpulan Gema Wisan Budaya MBI.
 
Semoga Sambutan Maal Hijrah 1442H/202M Peringkat MBI ini akan memperteguhkan tekad dan iltizam untuk menyemarakkan semangat Hijrah dan perubahan ke arah kebaikan dengan pengembelengan tenaga dan fikiran bersendikan akidah dan memperkukuhkan semangat ukhuwah. Semoga kesungguhan warga MBI dalam menghayati dan meneladani hikmah disebalik peristiwa Hijrah ini, akan menjadikan umat Islam lebih cemerlang dan diberkati oleh Allah SWT, di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.