MENU

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menyediakan kemudahan internet percuma di 20 lokasi terpilih sekitar bandar raya ini dengan kos RM200,000.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kemudahan yang dikenali dengan nama MBIFREEWIFI dengan kelajuan 300 mbps itu dijangka siap pada penghujung April depan.

Menurutnya, inisiatif tersebut disediakan untuk membantu pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selain membantu usahawan untuk mengembangkan lagi pasaran produk mereka secara dalam talian.

“Kemudahan ini selaras dengan perubahan normal baharu dan ke arah menjadikan Ipoh sebagai bandar raya pintar kerana kita mahu menjadi antara bandar raya terawal menerima kemudahan 5G.

“Lokasi-lokasi bagi MBIFREEWIFI ini dipilih berdasarkan keperluan dan permintaan penduduk. Jika ada keperluan kita akan tambah dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelancaran MBIFREEWIFI dan Penyerahan Sumbangan Tablet kepada 10 penduduk Manjoi di Dewan Komuniti Sungai Tapah, Manjoi di sini pada Ahad.

Rumaizi berkata, antara lokasi yang akan menerima kemudahan tersebut ialah Gerbang Malam, Kinta Riverwalk, Kampung Seri Kinta, Bercham dan Medan Kidd.

Katanya, setiap lokasi MBIFREEWIFI itu boleh digunakan oleh orang ramai dalam lingkungan 50 meter serta mampu menampung sekitar 200 pengguna pada satu-satu masa.

Beliau berkata, kemudahan itu disediakan sepenuhnya oleh MBI namun mana-mana pihak yang ingin bekerjasama bagi tujuan tersebut amat dialu-alukan.
 

Kredit : https://www.sinarharian.com.my/article/126141/EDISI/Internet-percuma-di-20-lokasi-terpilih-sekitar-Ipoh