MENU

LUKISAN MURAL: AKTIVITI MENDULANG BIJIH TIMAH

Perusahaan bijih timah merupakan perusahaan yang tertua dan produk eksport utama di Tanah Melayu satu masa dahulu. Sebelum tahun 1820, perlombongan bijih timah diusahakan oleh orang Melayu secara tradisional dengan menggunakan kaedah mendulang. Aktiviti mendulang ini kebiasaannya dijalankan di sungai atau di kawasan lombong. Tanah didulang akan diayak untuk mengasingkan bijih timah dari tanah.

SEJARAH BIJIH TIMAH

Perkembangan industri perlombongan bijih timah di negeri Perak menerusi penemuan bijih timah di Larut oleh Long Jaafar pada tahun 1840-an dan Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 menjadi satu titik tolak kepada sejarah moden negeri ini. Perkembangan tersebut mengubah landskap penempatan masyarakatnya daripada perkampungan di tebing sungai yang beratapkan nipah kepada pekan dan bandar yang memiliki bangunan konkrit.

Hal yang demikian ini jelas dibuktikan dengan catatan Sir Hugh Low pada tahun 1881 yang menyatakan penempatan di Perak bukannya sebuah perkampungan kotor dengan pondok atap yang dilalui oleh lorong bengkok sempit, tetapi sebuah bandar baharu mengandungi blok bangunan batu yang memiliki penampilan kemas dan terbaik sama seperti di bandar-bandar Negeri-negeri Selat.

Pada masa dahulu, Lembah Kinta berkembang pesat dan merupakan daerah terkaya di Semenanjung Tanah Melayu hasil dari kegiatan perlombongan bijih timah dan menjadikan Ipoh lebih terkenal berbanding bandar di negeri lain hanya kerana kekuatannya yang kaya dengan hasil bijih timah.
 

LALUAN WARISAN BIJIH TIMAH – LORONG HALE

Majlis Bandaraya Ipoh telah menjadikan Lorong Hale sebagai Laluan Warisan Bijih Timah melalui Rancangan Kawasan Khas Pekan Ipoh – Bandar Warisan Bijih Timah. Lorong tersebut telah dinaiktaraf bagi memastikan ianya mesra pelancong di samping menyediakan kemudahan infra dan persekitaran yang menarik dan selamat untuk pengunjung.

Objektif Laluan Warisan Bijih Timah adalah satu usaha murni dalam menyingkap lipatan sejarah Ipoh di era kegemilangan bijih timah kepada generasi sekarang dan akan datang. Prasarana dan bangunan telah dipelihara dan melambangkan warisan yang hidup untuk santapan minda dan tatapan umum.
 

PROGRAM LOCAL AGENDA 21 (LA21) 

Local Agenda 21 ialah satu program untuk masyarakat, sektor swasta dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketiga elemen utama bekerjasama untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan.

Pembangunan mampan ialah pembangunan yang memenuhi keperluan semasa tanpa menjejas keperluan generasi-generasi masa hadapan. Ia mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan keperluan-keperluan sosial dan alam sekitar.

Majlis Bandaraya Ipoh merupakan peneraju utama dalam mekanisme perkongsian Local Agenda 21. MBI mempelawa pihak berkepentingan iaitu sektor swasta, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan komuniti untuk bersama membangunkan Bandaraya Ipoh sebagai hub-pelancongan dan kota seni di Malaysia. 
 

TANGGUNGJAWAB KORPORAT (CSR)

Majlis Bandaraya Ipoh dengan kerjasama Maybank Foundation dan pemilik bangunan telah menjalankan satu projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) – ‘Tigers on Ipoh Heritage Walk’ di bawah program LA21.  Pihak Maybank Foundation membiayai projek ini dan pemilik bangunan pula memberi kebenaran dinding di lorong belakang dilukis sebuah mural bertajuk ‘Aktiviti Mendulang Bijih Timah’.

Di samping itu, Maybank Foundation juga menjalankan aktiviti dalam membantu Harimau Malaya dari kepupusan melalui projek ‘Save The Tiger’. Legasi Maybank Foundation dalam memberi balik kepada komuniti melalui program pemuliharaan dan pemeliharaan alam semulajadi di Malaysia amatlah dihargai dan disanjung tinggi. Majlis Bandaraya Ipoh menyokong usaha-usaha murni oleh Maybank Foundation.


 

#TheMalayanTigerProject
klik untuk info