MENU

IPOH 10 Julai – Hari ini genaplah 100 hari Dato’ Rumaizi Baharin mentadbir Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak 3 lalu yang juga mencatat sejarah baharu sebagai Datuk Bandar termuda sejak Ipoh diistiharkan sebagai Bandaraya pada 27 Mei 1988.

Dengan perwatakan beliau yang bersahaja dan penuh dengan senyuman telah membuka dimensi baru pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) khususnya berkaitan norma baru bekerja dalam tempoh pandemik Covid-19.

Beliau amat mementingkan konsep musyawarah dalam menjalankan tugas selain sentiasa mengambilkira pendapat dan pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan.

Imbas kembali, pelantikan beliau dalam tempoh pandemik Covid-19 memberi cabaran tersendiri bukan sahaja kepada beliau, tetapi juga MBI sebagai pihak bertanggungjawab mengurus bandaraya Ipoh.

Bagaima pun, hasil pengurusan cekap dan gandingan kerja mantap menyaksikan beberapa perkara utama berjaya dicapai Rumaizi dalam tempoh 100 hari yang memberi impaks kepada pengurusan MBI.

Antaranya ialah menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak yang melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pusat Setempat secara atas talian.
Mesyuarat pada 5 Mei lalu melibatkan 13 agensi teknikal luaran dan 9 agensi teknikal dalaman MBI.

MBI juga telah melaksanakan tindakan tehas terhadap 40,000 pemilik lot tanah tidak ditadbir dengan baik yang sengaja meninggalkan dan membiarkan tanah mereka tanpa diuruskan dengan baik sehingga memudaratkan penduduk setempat.

Tindakan mengeluarkan kompaun tersebut adalah tindakan terakhir selepas daripada tindakan pemantauan dan teguran dibuat kepada pemilik tanah.

Begitu juga isu yang dilihat kritikal iaitu pembuangan sampah haram yang dilihat menjadi kebiasaan bagi segelintir masyarakat terutama di kawasan perumahan, tanah lapang dan di pinggir jalan raya.

Sebanyak 1,672 lokasi sampah haram dikesan dengan jumlah sampah yang telah dibersihkan sebanyak 12,210 tan.

Sehingga Februari lalu juga sebanyak 219 kompaun telah dikeluarkan melibatkan nilai berjumlah RM181,050.

Sebagai perbandingan, sebanyak RM1.03 juta kompaun telah dikeluarkan apda tahun lalu.

Sebagai langkah proaktif, Unit Anti Litter telah diwujudkan bagi menjalankan intipan dan tangkapan selain boleh mengenakan kompaun RM1,000 kepada individu yang membuang sampah secara haram.

Bagi merancakkan kembali aktivti ekonomi, MBI melalui persetujuan Menteri Besar telah membuka semula Pasar Tani, Pasar Malam dan Gerbang Malam sekali gus memberi peluang kepada para peniaga meraih pendapatan semula.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 juga, Datuk Bandar telah melaksanakan inisiatif pengecualian sewaan kepada penyewa premis MBI selari dengan Pakej Ransangan Ekonomi kerajaan.

Ia melibatkan pengecualian sewaan bagi 170 premis perniagaan selama tiga bulan manakala sewaan bagi penghuni rumah pangsa yang diuruskan oleh MBI pula selama enam bulan.

Selain itu, kebimbangan terhadap penularan wabak berjangkit seperti denggi dan chikungunya menyasikan MBI turun padang bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Ahmad Saidi Mohamad Daud ke Pasar Buntong pada 19 Jun lalu selain daripada tindakan konsisten yang dijalankan oleh pegawai Jabatan Kesihatan MBI.

Rumaizi turut turun padang ke Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Tapah, Ipoh pada 26 Jun meninjau sendiri situasi denggi dan chikungunya di kawasan tersebut.

Terbaru, MBI di bawah kepimpinan Rumaizi mencatat sejarah lagi apabila buat pertama kali melantik Setiausaha Bandaraya dalam kalangan pegawai kanan wanita apabila Zuraina Kamarul Ariff dilantik ke jawatan tersebut.

Bekas Pengarah Kanan Infrastruktur & Perancangan MBI yang juga bekas pesakit kanser juga adalah yang pertama dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya (Jawatan Gred Jusa C) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Zuraina turut menerima Anugerah “Iron Lady” daripada Persatuan Pink Champion Perak sebagai menghargai kekentalan beliau yang walaupun pernah mengidap penyakit kanser namun tidak menghalang beliau untuk meneruskan cita-citanya menabur bakti kepada masyarakat.

Sesungguhnya, dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran ini telah menampakkan sosok Rumaizi sebagai Datuk Bandar yang mempunyai visi untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya berkelas dunia mengikut acuan sendiri.
 

Kredit : Perak Gazzete