MENU

6 Ogos 2020 - Seramai 250 peserta yang terdiri daripada Ahli Parlimen, ADUN, Ahli Majlis, MPKK, NGO dan pihak-pihak berkepentingan telah mengambil bahagian dalam Sesi Townhall Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Ipoh (RTMBI) 2023 di Stadium Indera Mulia pagi ini.

Program anjuran MBI ini diadakan bagi membentuk hala tuju pembangunan serta membincangkan isu, masalah dan cadangan awal pembangunan bagi aspek-aspek berkaitan dengan kawasan kajian Rancangan Tempatan.

Menurut Dato' Rumaizi Baharin, Datuk Bandar Ipoh dalam ucapan perasmiannya berharap program seumpama ini akan menjadi platfrom terbaik dalam membantu mendapatkan maklumbalas dan pandangan dari wargakota Ipoh dalam menentukan pembangunan masa hadapan.

Menurut beliau lagi, Rancangan Tempatan Ipoh 2020 yang akan tamat tidak lama lagi perlu diganti untuk menyusun semula hala tuju pembangunan agar selaras dengan pelbagai agenda pembangunan terbaharu seperti Sustainable Development Goals, New Urban Agenda dan Draf RSN Perak 2040.

Program selama tiga jam ini di kawal selia oleh 3 fasilitator yang mewakili 3 kumpulan.

Kumpulan 1 yang membincangkan matlamat, Ipoh sebuah bandaraya mampan, berimejkan warisan dan bertaraf dunia telah dikendalikan oleh Dr. Chua Ran Shee, wakil Plan Malaysia, Kumpulan 2 yang membincangkan matlamat, Ipoh sebagai pelancongan pintar, berdaya huni dan berdaya tahan telah dikendalikan oleh Puan Rohayah binti Abdul Kadir, Pengarah Kanan-Perkhidmatan manakala Kumpulan 3 pula telah membincangkan matlamat, menjadikan Ipoh bersih, indah dan selesa untuk didiami, bekerja serta menjadi tarikan pelaburan dan pelancongan telah dikendalikan oleh Tuan Haji Mohd Zainal bin Abdul Hamid, Pengarah Perancang Bandaraya.

Semoga program ini akan menjadi pemangkin dan titik tolak dalam menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Berkelas Dunia.

#MBIDanAnda
#RTIpoh
#SesiTownhallMBI