MENU
 
28 Februari 2021-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah menyempurnakan Majlis Pelancaran MBIFREEWIFI dan Penyerahan Tablet Kepada 10 Penduduk Manjoi dari kumpulan B40 bagi tujuan PdPR di Dewan Komuniti, Sungai Tapah, Manjoi petang tadi.
 
Ia turut dihadiri oleh Clr. Dato' Mazlan bin Abdul Rahman, Clr. Tuan Haji Abu Bakar bin Hussian, Clr. Puan Puteri Holijah binti Muhamad Rali, Ahli Majlis MBI, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan ketua jabatan MBI.
 
Pada tahun ini, Majlis telah merancang untuk menyediakan liputan kemudahan wifi percuma di 20 lokasi yang terpilih dengan kelajuan 300Mbps dan kemudahan tersebut diberi nama MBIFREEWIFI.
 
Kemudahan ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) serta menjayakan Program Tuisyen Cikgu Saarani yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Perak pada 3 Februari 2021 yang lalu. Selain itu, kemudahan ini juga boleh membantu para usahawan untuk mengembangkan lagi pasaran produk mereka di dalam internet.
 
Kemudahan MBIFREEWIFI ini mampu untuk menampung seramai 200 hingga 250 orang dalam satu-satu masa dan kawasan liputan adalah 50 meter dari lokasi kemudahan MBIFREEWIFI tersebut disediakan. Kerja-kerja pemasangan sedang dilaksanakan oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh.
 
Projek pemasangan wifi percuma di 20 lokasi ini dijangka akan siap pada penghujung April 2021. Lokasi-lokasi tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
 
Kemudahan MBIFREEWIFI ini juga merupakan salah satu komponen quick win smart-city untuk menjayakan hasrat menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Pintar dan MBI sebagai PBT Pintar.