MENU

19 November 2020 - Hasil daripada pemantauan MBI berdasarkan aduan daripada penduduk setempat dan Penghulu Mukim Hulu Kinta (Lahat) pada 25 Ogos 2020 telah mendapati bahawa kelubung sediada Jambatan Sungai Kledang di Jalan Kampung Kuala Pari Hilir, Kampung Kuala Pari telah mengalami kerosakan kecil.  Sehubungan itu, pihak MBI telah mengarahkan pihak Konsesi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB) untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan pada 27 Ogos, 2020 namun begitu akibat kekerapan hujan pada awal September, 2020 didapati kerosakan tersebut telah menjadi semakin serius.

Oleh itu, satu lawatan telah diadakan pada 25 September, 2020 bersama agensi terbabit termasuk Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Pejabat Penghulu Mukin Hulu Kinta (Lahat), Konsesi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB) dan wakil penduduk dan hasil daripada lawatan berkenaan maka Jabatan Kejuruteraan MBI telah menjalankan kerja-kerja penutupan laluan berkenaan pada 26 September, 2020.

Untuk makluman, pihak Konsesi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB)  telah diamanahkan untuk merekabentuk semula kelubung kepada jambatan yang baru serta menjalankan kerja-kerja menaiktaraf. Rekabentuk jambatan yang baru berkenaan telah dipersetujui oleh pihak MBI dan kerja-kerja menaiktaraf jambatan tersebut telah bermula mulai 16 November, 2020 yang dijangka mengambil masa selama 26 minggu.

Pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf tersebut akan menyebabkan gangguan lalulintas di sekitar kawasan berkenaan, sehubungan itu pihak Majlis Bandaraya Ipoh memohon kerjasama penduduk setempat dan pengguna laluan tersebut agar mematuhi arahan-arahan lalulintas semasa kerja-kerja menaiktaraf berkenaan dijalankan bagi memberi kemudahan dan keselesaan pada masa akan datang.

MAJLIS BANDARAYA IPOH