MENU

Bil Cukai Taksiran Penggal Pertama bagi tempoh Jan-Jun 2019 telahpun dikeluarkan pada awal bulan Disember yang lalu dan telah diterima oleh pihak wargakota untuk pembayaran. Bil ini perlu dijelaskan pada atau sebelum pada 28hb Februari 2019 bagi penggal pertama tahun 2019.

Disamping itu, wargakota juga diberi pilihan samada ingin membuat pembayaran Cukai Taksiran bagi Penggal Pertama ataupun selama setahun di dalam Bil Cukai Taksiran bagi tahun 2019 tersebut.

Bagi pembayar yang membuat bayaran Cukai Taksiran Setahun dan tanpa tunggakan, mereka layak menyertai Cabutan Bertuah bagi Tahun 2019 yang menawarkan 30 hadiah utama  berupa sebuah kereta Proton Saga 1.3, 4 buah motorsikal, telefon pintar, basikal, dan barangan elektrik yang sangat menarik serta 200 unit barangan saguhati.

Cabutan Bertuah ini hanya layak untuk semua pembayaran Cukai Taksiran Setahun dan tanpa tunggakan di Kaunter Pembayaran Majlis Bandaraya Ipoh serta pembayaran secara ‘online’ iaitu pembayaran e-bayaran melalui laman sesawang MBI di alamat www.mbi.gov.my dan juga perbankan internet. Bagi pembayaran  secara ‘online’, slip cabutan bertuah perlu dicetak di mana-mana Kaunter Pembayaran Majlis.

Manakala bagi pembayar awal Cukai Taksiran Tahun 2019 pula, pihak Majlis  telah menyediakan sebanyak 35,000 unit hadiah yang menarik berupa ‘set manicure’ sebagai cenderahati.

Wargakota dinasihatkan supaya membuat pembayaran dengan segera jika ingin menikmati peluang menyertai Cabutan Bertuah Tahun 2019 kerana ianya akan berakhir pada atau sebelum 28 Februari 2019. Manakala hadiah cenderahati juga semakin berkurangan kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Jika wargakota tidak menerima bil cukai taksiran, bil boleh dicetak semula di kaunter One Serve Majlis Bandaraya Ipoh atau dengan melayari laman sesawang MBI di alamat www.mbi.gov.my.

Pihak Majlis juga melantik agen-agen kutipan untuk memudahkan wargakota membuat bayaran bil-bil Majlis dan pelbagai saluran serta kaedah bayaran disediakan seperti:

  • Pembayaran secara ‘online’ melalui bank-bank tempatan dengan menggunakan perkhidmatan JomPAY;
  • Pembayaran secara ‘online’ melalui laman sesawang MBI dialamat www.mbi.gov.my dengan menggunakan perkhidmatan secara FPX;
  • Pembayaran di kaunter seperti Pejabat Pos di kawasan Bandaraya Ipoh, kaunter Bank Simpanan Nasional, kaunter Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dan kaunter PBT di dalam Negeri Perak;
  • Pembayaran menggunakan kad kredit atau kad debit Visa /Mastercard /Amex (Bank Tempatan).

Untuk memudahkan wargakota membuat pembayaran,Kaunter Bayaran Ibu Pejabat MBI Greentown akan juga dibuka pada setiap hari Sabtu dan Ahad (jam 9.00 pagi hingga 1 petang mulai Disember 2018, Januari,  Februari, Ogos 2019) kecuali pada hari cuti umum.

Wargakota juga boleh membuat bayaran di Kaunter Bayaran MBI di UTC yang dibuka setiap hari mulai jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam kecuali pada hari cuti umum mulai tahun 2019.

Pihak Majlis juga telah memulakan perkhidmatan Kaunter Bergerak yang baru dengan mengikut jadual yang telah dikeluarkan oleh pihak Majlis. Jadual tersebut boleh didapati di laman sesawang MBI dialamat www.mbi.gov.my. Pihak Majlis juga membuka ruang untuk wargakota membuat permohonan untuk menggunakan perkhidmatan Kaunter Bergerak ini di tempat masing-masing mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Bil Cukai Taksiran Penggal Pertama 2019 ini perlu dijelaskan pada atau sebelum pada 28hb Februari 2019 dan pihak Majlis akan mula mengenakan Notis  (Borang E) pada 1 Mac 2019. Penguatkuasaan ini berdasarkan Seksyen 147, Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976) kepada pemilik harta pegangan yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran selepas tamat tempoh pembayaran.

Oleh itu, wargakota yang masih belum menjelaskan bayaran cukai taksiran juga dinasihatkan supaya berbuat demikian dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.