MENU

Bil Cukai Taksiran Penggal Pertama bagi tempoh Jan-Jun 2021 telahpun dikeluarkan pada akhir bulan November yang lalu dan telah diterima oleh pihak wargakota untuk pembayaran. Bil ini perlu dijelaskan pada atau sebelum pada 28hb Februari 2021 bagi Penggal Pertama tahun 2021.

Disamping itu, wargakota juga diberi pilihan samada ingin membuat pembayaran Cukai Taksiran bagi Penggal Pertama ataupun selama setahun di dalam Bil Cukai Taksiran bagi tahun 2021 tersebut.

Bagi pembayar yang membuat bayaran Cukai Taksiran Setahun dan tanpa tunggakan, mereka layak menyertai Cabutan Bertuah bagi Tahun 2021 yang menawarkan hadiah- hadiah yang menarik terdiri daripada wang tunai keseluruhan bernilai RM 76,000.00.

Bagi pembayar awal Cukai Taksiran Tahun 2021 juga, pihak Majlis telah menyediakan sebanyak 50,000 unit hadiah yang menarik berupa Sampul Tempat Menyimpan Pelitup Muka (Facemask) yang menarik.

Wargakota dinasihatkan supaya membuat pembayaran dengan segera jika ingin menikmati peluang menyertai Cabutan Bertuah Tahun 2021 kerana ianya akan berakhir pada 28 Februari 2021.

Jika wargakota tidak menerima bil cukai taksiran, bil tersebut boleh dicetak semula di kaunter One Serve Majlis Bandaraya Ipoh atau dengan melayari laman sesawang MBI di alamat www.mbi.gov.my.

Pihak Majlis juga telah mengadakan pelbagai saluran pembayaran untuk memudahkan wargakota membuat bayaran bil-bil Majlis seperti:

  • Pejabat Pos di sekitar Ipoh,
  • Pejabat Tanah dan Daerah Perak,
  • Kaunter Bank Simpanan Nasional (Seluruh Malaysia),
  • Perbankan secara atas talian dari bank-bank tempatan,
  • Jompay
  • eBayaranmelalui laman sesawang MBI di (www.mbi.gov.my)

Untuk memudahkan wargakota membuat pembayaran serta mengelakkan kesesakan semasa waktu puncak, Kaunter Bayaran Ibu Pejabat MBI Greentown juga akan dibuka pada setiap hari Sabtu dan Ahad (jam 9.00 pagi hingga 1 petang mulai Disember 2020, Januari, Februari, Ogos 2021) kecuali pada hari Cuti Umum.

Wargakota juga boleh membuat bayaran di Kaunter Bayaran MBI di UTC yang dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang, Jumaat mulai 8.30 pagi hingga 12.15 tgahari / 2.45 petang hingga 6.00 petang. Manakala hari Sabtu dan Ahad mulai jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang kecuali Cuti Umum.

Bil Cukai Taksiran Penggal Pertama 2021 ini perlu dijelaskan pada atau sebelum pada 28hb Februari 2021 dan pihak Majlis akan mula mengenakan Notis (Borang E) pada 1 Mac 2020. Penguatkuasaan ini berdasarkan Seksyen 147, Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976) kepada pemilik harta pegangan yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran selepas tamat tempoh pembayaran.

Oleh itu, wargakota yang masih belum menjelaskan bayaran cukai taksiran juga dinasihatkan supaya berbuat demikian dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.