MENU

MBI II memberi isyarat bahawa mereka mampu menjadi pencabar dalam kancah bolasepak tempatan khususnya Liga Super Ipoh 2019 apabila  menghampakan pasukan SUK PERAK dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan akhir Piala FA 2019.

MBI II yang turun beraksi tanpa 2 tonggak utama iaitu kapten Abdul Hafis Amran dan Ahmad Safri b. Othman Nizar yang masih dibelenggu kecederaan, bermula agak goyah di awal permainan dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh SUK PERAK untuk menghukum barisan pertahanan MBI II apabila pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti kepada SUK PERAK selepas percubaan penyerang SUK PERAK berjaya ditampan oleh penjaga gol MBI II, Muhammad Ridzwan Hilmi, namun bola melantun mengenai tangan pemain pertahanan MBI II. Ketua Pasukan SUK PERAK, Badruzzaman Tahir tenang menewaskan penjaga gol MBI II untuk membolehkan SUK PERAK mendahului di minit ke-10 permainan.

Seperti tersentak dari lamunan, jurulatih MBI, Sooresh Rao lantas mengarahkan anak buah mereka untuk kembali mengatur strategi menyerang untuk mencari gol penyamaan. Ini termasuk terpaksa mengeluarkan Mohd Mukhrim dan membawa masuk Che Azerin Shah pada minit ke-35 bagi meningkatkan  serangan dan mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Percaturan ini membuahkan hasil apabila Che Azerin Shah bijak membuat larian di sebelah kiri pintu gol lawan dan pantas melorongkan bola untuk disudahkan dan ditolak masuk oleh Nur Hidayat Hasenan menewaskan penjaga gol SUK PERAK, Mohd Nawfal, untuk gol penyamaan MBI II pada minit ke-40. MBI II meneruskan asakan demi asakan, dan akhirnya dihadiahkan tendangan penalti setelah percubaan Muhammad Saiful Rizal Termize terkena tangan pemain pertahanan SUK PERAK di dalam kawasan D. Muhammad Daniel Azeem berjaya mengatasi rasa gementar malah berani mengambil tendangan penalti dengan kaedah ‘chip’ dan memperdayakan penjaga gol SUK PERAK untuk MBI II mendahului SUK PERAK dengan jaringan 2-1 sebelum waktu rehat babak pertama.

Sejurus selepas aksi babak kedua bermula, MBI II yang terkenal dengan corak permainan pantas tidak perlu menunggu lama apabila berjaya menambah gol melalui jaringan Muhammad Saiful Rizal Termize pada minit ke-48 yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Kemenangan tersebut membolehkan MBI II membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan dan piala iringan. SUK PERAK pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua buat kali ketiga berturut-turut dan membawa pulang hadiah wang kemenangan sebanyak RM2,000. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Ipoh, Dato’ Azhar Ahmad.

Menurut Pengurus pasukan MBI II, Mohd Zakuan B. Hj. Zakaria, beliau  sendiri tidak menyangka MBI II mampu bermain dengan baik dan menewaskan SUK PERAK dalam perlawanan akhir ini. Ini adalah kerana SUK PERAK mempunyai reputasi hebat selaku finalist Piala FA tiga tahun berturut-turut berbanding MBI II yang dibarisi pemain-pemain muda dan kurang pengalaman, apatah lagi beraksi di final. Namun syukur Alhamdulillah, berkat kerjasama dan usaha keras berpasukan, pemain berjaya buktikan mereka mampu menewaskan SUK PERAK dan muncul johan piala FA kali ni.

Ini merupakan hadiah paling bermakna kepada pasukan menjelang Ramadan. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kehadiran dan sokongan penyokong MBI, Ahli Majlis, pegawai dan anggota MBI, jurulatih serta pengurusan pasukan bolasepak MBI I dan MBI II yang sentiasa berdiri teguh bersama pasukan selama ini. Beliau juga turut merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Ipoh yang berjaya menganjurkan Kejohanan Piala FA tersebut dengan baik dan lancar.