MENU

19 Jun 2020 - MBI menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama di negeri Perak yang telah melaksanakan Sessi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2020 melalui FB Live pada petang tadi. Ia telah diadakan mengikut SOP yang ditetapkan setelah tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan oleh Kerajaan pada pertengahan Mac yang lalu.

Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran di Majlis Bandaraya Ipoh ini telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu. Pada tahun ini, pihak Majlis telah memperuntukkan sebanyak RM103,000 untuk pembelian hadiah-hadiah menarik seperti Kereta Proton Saga 1.3 MT, motosikal, peralatan elektrik dan perkakasan rumah yang menarik. Ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak Majlis kepada pembayar-pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka pada Bandaraya Ipoh.

Pada tahun ini jumlah pembayaran setahun telah menunjukkan peningkatan sebanyak 14.5% iaitu 18,472 bil daripada 148,174 bil yang telah dibayar setahun berbanding pada tahun 2019 iaitu 129,702 bil. Jumlah bayaran lebihan pada tahun ini juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 23.7% iaitu sebanyak RM 39.45 juta berbanding tahun lepas yang berjaya mengutip sebanyak RM 31.9 juta.

Cabutan bertuah cukai taksiran tersebut telah dijalankan secara serentak oleh Datuk Bandar dan 3 Pengarah Kanan MBI bagi 330 slip cabutan bertuah iaitu 300 slip bagi hadiah saguhati dan 30 slip bagi hadiah-hadiah utama. Bagi hadiah utama, cabutan akan dibuat sekali lagi bagi menentukan Hadiah yang akan dimenangi.

Dalam ucapannya, Datuk Bandar merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada wargakota Ipoh yang telah menjalankan tanggungjawab dengan pembayaran bil cukai taksiran ini.

Semoga sokongan pada warga kota terhadap MBI akan berterusan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya yang Bersih, Hijau dan Maju.

#MBIDanAnda