IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah menaikkan cukai taksiran atau cukai pintu di bandar raya ini sejak tahun 1982, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man.

Zamri berkata sebarang peningkatan bayaran oleh pemegang atau pemilik premis adalah disebabkan oleh penambahan keluasan premis masing-masing.

“Kita masih gunakan nilaian sama sejak 1982 dan kaedah pengiraan percukaian dibuat berdasarkan pengiraan luas bangunan mengikut kawasan. Jika berlaku perubahan cukai itu disebabkan perubahan luas bangunan.

“Sebagai contoh, jika dulu rumah 600 kaki persegi, kini telah berubah menjadi 1,000 kaki persegi jadi berlaku peningkatan cukai (taksiran), itu yang orang ramai kena faham," katanya tanpa mendedahkan nilaian semasa yang digunakan.

Zamri bercakap pada sidang media di sini hari ini, bagi menjelaskan beberapa aduan awam yang mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menaikkan kadar cukai taksiran.

Datuk bandar itu berkata pemilik premis yang ingin membuat semakan atau bantahan boleh berbuat demikian secara bertulis mengikut peruntukan Seksyen 142, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) sebelum 14 Jan ini.

Mengulas lanjut, Zamri berkata secara keseluruhan terdapat lebih 285,000 pegangan (premis) di bawah sempadan MBI dan daripada jumlah itu kira-kira 125,000 pegangan telah dinilai semula.

Katanya penilaian semula telah dilaksanakan oleh pihak MBI bermula tahun 2015 melibatkan beberapa kawasan dan apabila selesai notis diberikan kepada pemilik.

“Pemilik diberi ruang untuk mengemukakan bantahan atau tidak, dan pemilik (kawasan yang terlibat penilaian semula) tahu jika menerima peningkatan bayaran itu adalah kerana rumah semakin besar," katanya.

kredit : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/perak/mbi-tidak-pernah-naikkan-cukai-taksiran-sejak-1982-1.781363