MENU

IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai gemar membuang sampah sesuka hati di bandaraya ini tersentak apabila ditahan penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ketika dia sedang memunggah sampah dari kenderaannya di simpang masuk Taman Ipoh Timur di sini pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi, perbuatan lelaki berusia 40-an itu disedari oleh sekumpulan pegawai penguatkuasa MBI yang sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan mengecam tindakan individu yang disifatkannya tidak memiliki perasaan sayang terhadap bandaraya Ipoh hingga sanggup berkelakuan sebegitu.

Katanya, tindakan lelaki itu dan segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab sepertinya itulah yang telah mencalarkan imej penduduk Ipoh.

Tambahnya, ia sekaligus menggagalkan usaha MBI untuk memupuk budaya “Ipoh Bersih, Hijau dan Membangun” yang menjadi moto majlis bandaraya itu selama ini.

“MBI telah mengeluarkan kompaun bernilai RM250 kepada pembuang sampah itu di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan selain memberikan amaran keras kepadanya, malah beliau diarah mengutip semula sampah yang cuba dibuangnya itu.

“Perbuatan begini seharusnya dihentikan segera kerana ia akan memberikan contoh tidak baik kepada semu, malah sebagai rakyat negeri Perak, kita mempunyai peranan dalam menjaga moral dan sivik kita bersama,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Zamri berkata, dalam usaha untuk mengekalkan status Ipoh Bandaraya Terbersih di Malaysia dan Majlis Bandaraya Ipoh sebagai Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik di Malaysia, MBI akan meneruskan tindakan tegas terhadap pembuangan sampah haram di Bandaraya Ipoh.

Katanya, kejadian pembuangan sampah haram di Taman Ipoh Timur itu boleh dijadikan sempadan mengenai pembuangan sampah haram secara berulang yang dilakukan oleh penduduk dan peniaga setempat.

Beliau berkata, dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2017, MBI telah membersihkan 1,673 lokasi longgokan sampah haram sebanyak 11 kali dan mengeluarkan 2,405 kompaun bernilai RM507, 400.

MBI juga turut menjalankan 78 gotong-royong serta memasang 621 papan tanda “Dilarang Membuang Sampah” di sekitar Bandaraya Ipoh, katanya.

“Tanggungjawab ini bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua pihak. Tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir setelah tindakan lain tidak diendahkan oleh wargakota Ipoh.

“Semoga Bandaraya Ipoh akan terus mengekalkan status sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia,” tegasnya.

kredit : http://suaraperak.com/pembuang-sampah-ditahan-penguatkuasa-mbi/