MENU

Lebih 3000 warga Majlis Bandaraya Ipoh dan wargakota Ipoh telah menyertai Program Gotong Royong Peringkat MBI yang telah diadakan secara serentak di 5 lokasi iaitu Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Taman Merdeka, Taman Impiana Adril, Taman Saikat dan Flat Ashby sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2019 yang telah diadakan pada Jumaat, 23 Ogos 2019.

Program yang turut dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ini melibatkan pelbagai aktiviti pembersihan seperti pembersihan sampah haram, menanggal poster along, mengecat bahu dan pembahagi jalan, mencantas pokok, pembersihan scupper hole dan kaki lima serta pembersihan sekitar kawasan. YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak juga turut turun padang ke Projek Perumahan Rakyat Jalan Hospital dan Pangsapuri Seri Kepayang, Ipoh.

Untuk makluman, dari 1 Januari 2019 hingga 10 Ogos 2019, sebanyak 8,011 tan sampah telah dibersihkan di 1,672 lokasi sampah haram. MBI juga turut menjalankan gotong-royong di 107 lokasi serta memasang 110 papan tanda "Dilarang Membuang Sampah" di sekitar Bandaraya Ipoh. MBI juga turut mengeluarkan 747 kompaun bernilai RM654,850 membaitkan kesalahan membuang sampah secara haram dalam tempoh tersebut.

Tanggungjawab menjaga kebersihan bandar raya Ipoh ini adalah tanggungjawab bersama warga MBI dan wargakota Ipoh dalam memastikan Bandaraya Ipoh sentiasa dalam keadaan bersih.

Semoga kerjasama erat antara warga MBI dan wargakota Ipoh seumpama ini akan membantu MBI dalam mengekalkan Ipoh sebagai salah sebuah bandar yang terbersih di Malaysia.