MENU

Pengusaha dan pemilik premis perniagaan di Bandaraya Ipoh dinasihatkan berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai Pegawai Kesihatan MBI dengan menggunakan nama "Tuan Muzir" dan menjalankan urusan transaksi permohonan lesen, urusan waran tangkap, kompaun dan mahkamah MBI.

Pihak MBI telah menerima aduan mengenai kehadiran individu tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kesihatan dari MBI.

Individu ini memujuk pengusaha dan pemilik premis perniagaan untuk mendapatkan khidmatnya dalam urusan transaksi permohonan lesen, urusan waran tangkap, kompaun dan mahkamah MBI.

Untuk makluman orang ramai dan pengusaha premis perniagaan, pihak MBI tidak pernah melantik mana-mana orang sebagai agen untuk menguruskan sebarang urusan lesen dan sebagainya.

Sehubungan itu, orang ramai dan pengusaha premis perniagaan diingatkan agar berwaspada dengan individu yang tidak bertanggungjawab yang hadir dan menyamar sebagai Pegawai Kesihatan MBI untuk menguruskan sebarang urusan berkaitan MBI.

Jika ada pihak yang menyamar, orang ramai dan pengusaha premis perniagaan adalah dinasihatkan supaya menghubungi atau membuat laporan kepada pihak polis agar penjenayah sebegini dapat ditangkap dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.