MENU

IPOH 2 Jun - Warga bandar ini diminta turut bertanggungjawab berhubung pengurusan sampah di kediaman masing-masing demi kesejahteraan bersama.

Ini termasuk memastikan tong sampah disediakan serta memasukkan ke dalam plastik sesuai bagi memudahkan pungutan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pengurusan sampah yang teratur juga berkait rapat dengan sikap dan kesedaran.

Beliau berkata, apa yang mendukacitakan apabila ada segelintir penduduk yang mengambil mudah membuang sampah bukan di tempat sepatutnya.

"Antara masalah utama di bandar ini ialah tempat pembuangan sampah haram termasuk di kawasan perumahan selain di kawasan awam terbuka.

"Ini bukan sahaja memburukkan pemandangan, malah melambatkan kerja serta menyukarkan tugas pungutan sampah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi temubual di pejabatnya di sini hari ini.

Rumaizi, 45, dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu berkuat kuasa 1 April lalu.

Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri.

Mengulas lanjut kata beliau, soal longgokan sampah haram antara isu yang diberi perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk melalui tindakan penguatkuasaan.

"Kita tidak boleh berkompromi kerana masalah sampah melibatkan kebersihan dan perlu mengambil tindakan tegas termasuk kerap melakukan pemantauan.

"Pada masa sama masyarakat juga perlu memberikan kerjasama kepada MBI dan sama-sama kita menjaga kebersihan kawasan yang didiami," ujarnya. - Perak Gazette

Kredit : Facebook Perak Gazzette