MENU

18 Julai 2020 – RPT Pengkalan Permai diiktiraf sebagai RPT Contoh di Bandaraya Ipoh kerana hasil kerjasama berpasukan para pemilik tanah dan penduduk telah berjaya membersihkan kawasan masing-masing. Y.Bhg. Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah menyerahkan Sijil Penghargaan kepada Encik Ahmad Hamdi bin Haji Hassan yang mewakili penduduk RPT Pengkalan Permai bagi mengiktiraf jasa dan komitmen tinggi dalam menjayakan Program Pematuhan Pembersihan Lot Semak-Samun Sendiri (Kendiri) (3P 3S Kendiri) di RPT Pengkalan Permai pagi tadi. Beliau merupakan individu yang menjadi tulang belakang dan penggerak kepada usaha murni ini.

Kerja-kerja pembersihan kawasan bukanlah terletak di bawah tanggungjawab MBI semata-mata tetapi merupakan tanggungjawab semua wargakota Ipoh dalam memastikan setiap Kawasan dalam keadaan baik dan bersih.

Aktiviti ini merupakan kesinambungan Program Pematuhan Pembersihan Lot Semak-Samun Sendiri (3P3S Kendiri). Tujuan program ini adalah memberikan kesedaran kepada orang awam terutama pemilik-pemilik lot kosong semak-samun / rumah terbiar mengenai tanggungjawab mereka serta memupuk amalan penjagaan kebersihan kesihatan persekitaran secara KENDIRI sebagai satu budaya.

Sejak 3P3S KENDIRI dilaksanakan, kadar pematuhan notis penghapusan kacauganggu semak-samun di lot milik persendirian telah meningkat daripada 50% pada tahun 2014 kepada 80% dan lebih sejak tahun 2015 sehingga sekarang. Program ini dapat mengurangkan kejadian kes demam denggi, mencegah kemalangan melibatkan haiwan liar, haiwan berbisa seperti ular dan menjimatkan kos pengurusan dan perkhidmatan di pihak majlis.

Kaedah libat urus dan memperkasa komuniti ( Community Enggagement And Empowerment ) yang berterusan menjadi tunjang kepada Way Forward program ini selari dengan NORMA BAHARU dan Amalan kebiasaan baharu. Tindakan seumpama ini bakal menjadi titik tolak dalam mengubah mentaliti wargakota Ipoh dalam menjaga kebersihan dan sekiranya wargakota Ipoh bersikap seperti mana penduduk RPT Pengkalan Permai, Saya yakin Ipoh bakal menjadi bandaraya terbersih di Malaysia.

Sejak tertubuhnya “Group Whatsapp” Kariah Pengkalan Permai (RPT Pengkalan Permai) ini pada 20.06.2020, daripada 79 lot milik individu, sebanyak 22 lot telah dibersihkan oleh pemiliknya sendiri tanpa notis daripada Majlis Bandaraya Ipoh. Kerjasama berpasukan dalam kalangan komuniti seperti ini amat dialu-alukan dan perlu dicontohi oleh semua pihak terutama komuniti RPT dan kampung baru yang lain supaya Bandaraya Ipoh senantiasa Bersih, Selamat dan Selesa untuk warganya.

Nota : Semak jadual Pencapaian Program Pematuhan Pembersihan Lot Semak-Samun Sendiri (3P3S Kendiri)

#3P3SKendiri
#MBIDanAnda