MENU

IPOH: Bersempena dengan bulan kemerdekaan pada tahun ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberikan tawaran pengurangan pembayaran bagi kompaun trafik antara 30 hingga 50 peratus.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata penawaran diskaun tersebut berkuatkuasa hari ini sehingga 31 Ogos.

Katanya individu atau pihak yang ingin berbuat demikian, mereka boleh membayarnya di mana-mana kaunter pembayaran MBI.

“Tawaran diskaun kompaun lalu lintas ini ditawarkan MBI bersempena dengan bulan kemerdekaan. Sesiapa yang ingin membayar, boleh berbuat demikian bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI di perkarangan Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata bersempena dengan Bulan Kebangsaan, semua premis di Bandaraya Ipoh diharap dapat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan negara.

“Sekiranya ada premis yang masih menggantungkan Jalur Gemilang yang lusuh kita akan menasihat dan memintanya agar digantikan dengan yang baharu,” katanya.

Pada masa sama jelasnya, setakat ini MBI telah memasang lebih daripada 2,000 bendera Malaysia di jalan utama di sekitar bandar raya ini sementara 500 Jalur Gemilang di pasang di kesemua premis milik MBI.

Tambahnya sebanyak 6,000 notis pemasangan bendera juga telah diedarkan kepada premis-premis persendirian.

Sementara itu, ujar beliau sambutan bulan kemerdekaan oleh MBI yang bermula hari ini sehingga 16 September disambut dalam secara sederhana.

“Sambutan kali ini amat berbeza dengan sambutan pada tahun-tahun sebelum ini yang mana menjelang 31 Ogos kita akan mengadakan pelbagai aktiviti dan program secara besar-besaran.

“Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita terpaksa menghadkan program-program anjuran MBI.

“Sebagai contoh kali ini tiada acara sambutan ambang kemerdekaan kerana pada tarikh 30 Ogos kita masih berada dalam tempoh PKPP,” jelasnya lagi.

Kredit : https://peraktoday.com.my/2020/08/mbi-tawar-pengurangan-bayaran-kompaun-trafik-sehingga-50-peratus/