MENU

15 September 2020 - Majlis Bandaraya Ipoh telah memeterai secara rasmi kerjasama dengan UiTM setelah beberapa siri perbincangan bersama kedua-dua pihak yang telah diadakan semenjak 2019 lagi.

Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah menandatangani memorandum bagi pihak MBI manakala Y.Bhg. Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim Naib Canselor Universiti Teknologi MARA pula mewakili UITM.

Ia turut dihadiri oleh Yang Berusaha Pn. Hjh Zuraina Kamarul Arif Setiausaha Bandaraya, Pengarah-Pengarah Kanan dan Ketua-Ketua Jabatan MBI.

MBI berhasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Rendah Karbon selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia yang ingin melihat kesemua 154 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diseluruh Malaysia melaksanakan inisiatif-inisiatif kearah bandaraya rendah karbon.  

Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon diseluruh negara selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang tahun 2030.  

Selaras dengan itu,  penyediaan pelan rangka tindakan Ipoh Bandaraya Rendah Karbon akan menentukan strategi pelaksanaan dan sasaran MBI didalam mencapai pengiktirafan sebagai sebuah Bandaraya Rendah Karbon.  

Rangka Kerja Bandaraya Rendah Karbon (LCCF) adalah satu panduan bagi PBT untuk mentransformasikan bandaraya kearah rendah karbon.  

LCCF yang dibangunkan oleh Green Tech Malaysia memfokuskan pengurangan pembebasan karbon di dalam empat (4) kriteria utama iaitu Persekitaran, Infrastruktur, Pengangkutan dan Bangunan di dalam bandar. Empat kriteria utama ini adalah penting untuk digunakan bagi mengukur pencapaian (performance-based system) pengurangan pembebasan karbon oleh PBT.

Rangkakerja yang memenuhi skop LCCF ini adalah sangat penting bagi memenuhi kriteria untuk menjadikan  Ipoh sebagai sebuah bandaraya rendah karbon yang akan dibangunkan dengan kerjasama dari tenaga pakar/penyelidik-penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Awam, Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur  dan disokong  oleh Penyelidik dari Cawangan UiTM Kampus Sri Iskandar Perak.   

Semoga pembangunan pelan rangka tindakan melalui kerjasama antara MBI dengan UiTM akan dapat meningkatkan pemahaman khusunya Warga Ipoh dalam menjayakan inisiatif untuk merealisasikan hasrat bagi menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2030.  

Blueprint ini juga akan dimasukkan di dalam Penyediaan Rancangan Tempatan Ipoh 2035 (Penggantian) ke arah Ipoh Bandar Rendah Karbon 2030. Penyediaan  ini juga adalah sebagai kesinambungan daripada pencapaian MBI memperolehi Provisional Certification (Baseline Assessment) dan bagi meneruskan usaha untuk mencapai “Diamond Rating” bagi Kawasan Perancangan Pusat (KPP) dalam Energy Efficiency terhadap beberapa bangunan milik majlis yang telah dikenalpasti.

Ini adalah selaras dengan hasrat MBI untuk menggalakkan bangunan bangunan di Bandaraya Ipoh sebagai bangunan yang efisien dari segi penggunaan tenaga dan seterusnya sebagai langkah mewujudkan penduduk Ipoh sebagai komuniti Rendah karbon.

Hasil dari kerjasama ini  juga diharapkan dapat  merangsang kerjasama yang lain yang boleh membawa MBI kepada satu tahap yang cemerlang seiring dengan kemajuan bandaraya-bandaraya yang terulung samada di dalam Malaysia dan juga di luar negara.