IPOH: Perbuatan membuang sampah secara sembrono ke dalam sungai didapati menjadi punca berlakunya banjir kilat di bandar raya ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata, sebanyak 48 tan sampah telah berjaya dikutip oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh(MBI) dalam satu program gotong royong membersihkan Sungai Kinta pada 8 dan 9 November yang lalu.

“Hasil daripada program pembersihan tersebut mendapati kebanyakan sungai di sekitar bandar raya ini dipenuhi sampah sarap.

“Selain daripada plastik dan bekas makanan, kami juga menemui peralatan elektrik seperti peti ais yang dibuang di dalam sungai.

“Masalah ini dilihat menjadi antara punca berlakunya banjir kilat di beberapa tempat di Ipoh baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Bulanan Majlis Bandaraya Ipoh di Dewan Mesyuarat MBI di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rumaizi berkata, MBI kini dalam proses melaksanakan kajian tebatan banjir di tiga lokasi iaitu Kawasan Industri Bercham, Kampung Sungai Rokam dan RPT Klebang/Desa Seri Chepor dengan anggaran keluasan 10.2 km persegi.

Tambah beliau, MBI juga telah merangka untuk menaiktaraf sistem peparitan sedia ada dan pihaknya telah mengenalpasti lokasi-lokasi yang sering dan berpotensi mengalami banjir kilat.

Rumaizi berkata, kerja-kerja menaik taraf tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula awal tahun 2021.

Di akhir ucapannya, Rumaizi mengingatkan orang ramai agar tidak membuang sampah ke dalam sungai bagi mengelakkan masalah banjir kembali berulang.

Kredit : https://www.suaraperak.com/buang-sampah-ke-dalam-sungai-punca-banjir/