IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bekerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) untuk meningkatkan kelajuan Internet di sekitar bandar raya ini dari 100MB kepada 1GB melalui pelaksanaan Projek Fiber Optik UNIFI.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek pembangunan fiber optik itu yang telah dilaksanakan tahun ini akan ditambah baik pada tahun depan.

“Saya dimaklumkan oleh TM bahawa 6,900 ports akan disediakan di seluruh kawasan pusat bandar Ipoh. Jumlah ini termasuk 3,600 ports yang disedikan pada tahun 2019 dan selebihnya akan ditambah pada tahun 2020 dan 2021,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Bulanan MBI di sini, hari ini.

Menurut Rumaizi, pemasangan itu telah selesai di 17 kawasan di Ipoh manakala kerja-kerja pemasangan di 26 kawasan lagi sedang dilaksanakan bagi tahun ini.

Tambah beliau, bagi tahun 2021 pula, sebanyak 12 kawasan telah dicadangkan termasuk Buntong dan di sekitar ibu pejabat MBI.

Rumaizi turut memaklumkan bahawa TM menjangkakan pemasangan fiber optik UNIFI di kawasan pusat bandar Ipoh dijangka dapat disiapkan pada suku kedua 2021.

 

Kredit : https://www.suaraperak.com/kelajuan-internet-di-ipoh-dipertingkatkan/