MENU
 
9 Disember 2020 - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak telah memilih Majlis Bandaraya Ipoh sebagai salah satu daripada 3 lokasi penganjuran Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 di negeri Perak selain daripada Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Perbandaran Taiping.
 
Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 Peringkat MBI yang diadakan di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI pagi tadi telah dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Tuan Rosley bin Mohamad Satar, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Puan Zuraina binti Kamarul Ariff, Setiausaha Bandaraya, Pengarah-Pengarah Kanan dan Ketua-Ketua Jabatan MBI.
 
Dalam usaha mempertingkatkan integriti, MBI telah menubuhkan Unit Integriti dan membangunkan Pelan Anti Rasuah MBI sebagai satu langkah ke depan yang lebih komprehensif dalam melahirkan anggota MBI yang berintegriti tinggi.
 
Kedua-dua inisiatif ini, di samping menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah, ia juga turut bertanggungjawab untuk merancang, menggubal strategi dan menilai dasar bagi memastikan urusan MBI dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.
 
Pemantapan budaya integriti tinggi selama ini juga telah memberi faedah kepada Majlis Bandaraya Ipoh kerana MBI sentiasa dihormati oleh wargakota Ipoh dan organisasi-organisasi lain dalam menjalankan tugas dengan jujur dan amanah dalam memastikan sesuatu kerja itu berjalan lancar mengikut matlamat yang telah ditetapkan.
 
MBI berharap agar semua anggota Majlis Bandaraya Ipoh mengamalkan integriti yang tinggi manakala Unit Integriti MBI yang baru ditubuhkan pula akan sentiasa memantau amalan integriti di Majlis Bandaraya Ipoh.