MENU

23 Disember 2020-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah menyampaikan sijil dan plak kepada Y.Bhg. Datin Rogayah binti Shukor, Pengetua SMK Raja Perempuan, Ipoh dan Encik Norhisham bin Abd Shukor, Guru Besar SK Meru Raya, Ipoh kerana meraih tempat ketiga Anugerah Tandas Bersih (ABT1M) Kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Sempena Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020 tengahari tadi.

Ia turut dihadiri oleh Encik Aznan bin Haji Alias, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan Sektor Pembangunan Murid, Puan Zuraina binti Kamarul Ariff, Setiausaha Bandaraya, AhliMajlis-AhliMajlis, Pengarah-Pengarah Kanan dan Ketua-Ketua Jabatan MBI.  

Sejak tahun 2012 penganjuran pertandingan tersebut, MBI telah mencalonkan sebanyak  64 calon melibatkan hampir kesemua 11  kategori tandas awam terbaik (5 star) di sekitar bandar raya Ipoh untuk dipertandingkan. Daripada 64 calon  sebanyak 28 atau 43.7 % telah memenangi pertandingan ini.Kejayaan ini adalah kesinambungan usaha berterusan Majlis Bandaraya Ipoh untuk memastikan tahap kebersihan tandas awam dalam kawasan pentadbiran MBI berada pada tahap bersih, selesa dan selamat kepada pengguna tempatan dan pelancong.

Kesedaran tanggungjawab kebersihan tandas awam perlu dipupuk dari usia awal pelajar sekolah supaya ia menjadi satu budaya setelah mereka dewasa. Tanggungjawab penjagaan kebersihan perlu dipikul oleh semua pihak terutama masyarakat setempat.  

Kebersihan tandas awam mencerminkan sikap dan perilaku masyarakat dalam menitikberatkan aspek kebersihan, perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia merupakan sebahagian daripada gaya hidup dan juga melambangkan indentiti sesebuah negara.

Semoga kejayaan kedua-dua calon dari MBI dalam kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah berkenaan akan menjadi titik tolak kepada semua sekolah dalam kawasan pentadbiran MBI agar terus meningkatkan tahap kebesihan tandas awam.