MENU

24 Disember 2020 - Majlis Bandaraya Ipoh berhasrat untuk membina sebuah replika di Bulatan Tun Sambathan, Buntong, Ipoh dan perkara ini telah diusulkan dan diluluskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Majlis Bandaraya Ipoh bertarikh 8 September 2020.

Sehubungan dengan itu, pihak Majlis memutuskan untuk mengadakan Pertandingan Merekabentuk replika ini secara terbuka kepada wargakota Ipoh agar dapat mengambilkira penglibatan awam dalam menghasilkan rekabentuk replika yang dekat di hati wargakota Ipoh sendiri.

Pertandingan tersebut telah berlangsung selama 2 bulan mulai 5 Oktober 2020 sehingga 30 November 2020 dengan menekankan konsep rekabentuk bercirikan elemen kacang putih yang merupakan warisan tradisi Kampung Kacang Putih, Buntong, Ipoh.

Majlis Bandaraya Ipoh telah menerima sebanyak sepuluh (10) penyertaan dan penjurian telah diadakan pada 18 Disember 2020 yang lalu bagi memilih pemenang-pemenang dan hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM 2,250 beserta sijil penyertaan.

Tiga pemenang yang telah dipilih adalah:

a. Tempat Pertama : Chee Shiau Thing
b. Tempat Kedua : Raja Ahmad Shahrazad bin Raja Zainal Abidin
c. Tempat Ketiga : Chong Chi Chen

Mereka telah dipilih berdasarkan pematuhan kepada kriteria pemarkahan yang telah dinyatakan di dalam salah satu syarat pertandingan berkenaan yang mana rekabentuk berkenaan akan menjadi hakmilik Majlis Bandaraya Ipoh dan pihak Majlis berhak untuk menggunakan reka bentuk tersebut secara keseluruhan, atau secara sebahagiannya dalam penghasilan replika yang dicadangkan dibina pada masa akan datang.

Semoga replika tersebut akan menjadi mercu dan tarikan pelancongan di Bandaraya Ipoh dan Buntong khususnya.