MENU

IPOH, 24 DIS: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merancang menyediakan pelan tindakan yang dikenali sebagai Greater Ipoh bagi membangunkan kawasan pelancongan di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pelan tindakan tersebut akan melibatkan beberapa kawasan pelancongan seperti Tasik Cermin, Lembah Firdaus dan Gunung Mat Soorat.

“MBI akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak untuk mewujudkan projek kebun bandar dan pelancongan di Gunung Mat Soorat.

“Selain itu, aktiviti di Gunung Lang akan turut dipelbagaikan dan tarikan terkini di Gunung Lang ialah petting zoo,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Mesyuarat Penuh MBI di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, sebuah ampitheatre (pentas terapung) yang bernilai RM2 juta akan turut dibina di Taman D.R. Seenivagam di sini.

“Struktur ampitheatre ini dapat menjadi satu tarikan pelancong bagi tujuan hiburan, sukan dan persembahan serta mempromosi kepelbagaian sosio-budaya tempatan,” ujarnya.

Rumaizi menambah, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.6 juta bagi membina teduhan di Gerbang Malam, Jalan Dato Tahwil Azar di sini.

Katanya, teduhan itu adalah bagi menjamin keselesaan pengunjung dan peniaga dan ia dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan.

Selain itu, beliau berkata, MBI juga bekerjasama dengan Tourism Perak bagi menaik taraf Pusat Penerangan Pelancong Ipoh (ITIC) menggunakan peruntukan berjumlah RM400,000.

Katanya, usaha juga sedang dilaksanakan bagi menempatkan 15 plak maklumat bangunan bersejarah di sepanjang Heritage Trail sebagai tambahan kepada 12 plak sedia ada.

Tambahnya, promosi akan dijalankan dengan Tourism Perak dan Tourism Promotion Organization yang berpusat di Busan, Korea Selatan setelah projek berkenaan siap kelak.

kredit : https://www.suaraperak.com/mbi-rancang-pembangunan-kawasan-pelancongan-greater-ipoh/