MENU

IPOH,26 DIS: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited untuk memastikan kawasan tumpuan pelancong di sekitar Kinta Riverfront di sini yang seakan terbiar, dibangunkan dengan wajah baharu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata kerja penyelenggaraan menaiktaraf kawasan berkenaan sudah siap 70 peratus.

Ujarnya, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas yang lebih baik untuk pengunjung.

“Dahulu kita bagi (Kinta Roverfront) kepada pihak swasta, bagaimanapun sekarang MBI sudah ambil alih.

“Kos pengoperasian untuk Kinta Riverfront sekitar RM1 juta hingga RM2 juta setahun.

“Jadi dengan kita menggunakan kaedah pemasangan lampu kos rendah iaitu lampu LED, dengan penjimatan RM5 juta kita labur semula untuk pembangunan pelancongan kita termasuk kawasan Kinta Riverfront.

“Kalau tidak merujuk kepada model yang betul, kita tidak boleh bangunkan juga industri pelancongan kerana industri pelancongan membabitkan kos,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pra- pelancaran Petting Zoo di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini, hari ini.

Rumaizi berkata Petting Zoo ini diharap dapat memberi peluang kepada pelancong untuk melihat lebih dekat haiwan jinak seperti rakun, arnab dan pelbagai spesis burung dan ular.

Katanya, pihak pengusaha juga dalam proses menambah aktiviti seperti menaiki kuda padi (pony)untuk kanak-kanak menikmati suasana persekitaran Gunung Lang.

Petting Zoo di Taman Rekreasi Gunung Lang akan mula dibuka hari ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Harga tiket RM6 untuk dewasa dan kanak-kanak manakala percuma untuk kanak-kanak dua tahun dan ke bawah.

Kredit : https://www.suaraperak.com/mbi-komited-bangunkan-kinta-riverfront-dengan-wajah-baharu/