MENU
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) optimis sasaran untuk menjadikan bandar raya ini sebagai antara destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia dapat dicapai menjelang 2025 setelah pelbagai usaha dilakukan bagi merealisasikan hasrat itu.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya memberi penekanan terhadap usaha 3H iaitu 'Hipster', 'Heritage' dan 'Health' untuk mencapai matlamat tersebut.
 
Katanya satu daripada usaha yang sedang giat dijalankan adalah menaik taraf kawasan sekitar Kinta Riverfront berkonsepkan 'Food and Lifestyle' di tebing Sungai Kinta yang telah dimulakan sejak September lepas dan dijangka siap pada Februari 2021.
"Kerja-kerja menaik taraf di bawah peruntukan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu telah lebih 70 peratus siap membabitkan pelbagai kemudahan seperti jambatan, trek pejalan kaki, lampu jalan dan sebagainya.
 
"Kita juga dalam proses perbincangan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan dan pengawasan. Begitu juga dengan kemudahan perkhidmatan jalur lebar (wi-fi) dan saya fikir pusat makanan juga dibina untuk para peniaga" katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran 'Petting Zoo' (zoo haiwan jinak) di Gunung Lang di sini, pada Sabtu.
 
Mengulas mengenai zoo berkenaan, Rumaizi berkata ia merupakan tarikan baharu di bandar raya ini lebih-lebih lagi kedudukannya di Gunung Lang yang merupakan kawasan Geopark Lembah Kinta.
 
Katanya zoo yang dibangunkan dengan kos RM1 juta dan membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar itu mempunyai 25 spesies haiwan dan beroperasi setiap hari, mulai pukul 10 pagi hingga 6 petang dengan kadar bayaran RM6 untuk dewasa dan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.
 
"Diharapkan petting zoo ini dapat memberi peluang kepada majoriti pelancong tempatan khususnya kanak-kanak untuk melihat dan bermesra dengan rakun, arnab, landak, burung, ular dan pelbagai spesies haiwan jinak sempena musim cuti persekolahan ini," katanya.
-- BERNAMA

Kredit : https://www.astroawani.com/gaya-hidup/ipoh-sasar-jadi-antara-destinasi-pelancongan-menarik-menjelang-2025-274850