MENU

IPOH – Kewujudan Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh atau IICC diharap akan menjadi mercu tanda baharu Ipoh sebagai pusat perkembangan ilmu dan kerjaya.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, untuk itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai agensi kerajaan yang paling dekat dengan masyarakat, perlu memahami bahawa kita sedang berdepan dengan masyarakat yang semakin sofistikated dan berpengetahuan.

“Masyarakat yang pintar dan berpengetahuan ini, sangat memahami keperluan supaya Ipoh membangun seiring dengan kepesatan teknologi.

“Mereka memahami bahawa Ipoh bukan sahaja perlu menjadi bandaraya yang bersih dan selesa, tetapi juga menjadi bandar raya pintar yang dapat membantu warganya memiliki suasana kerja yang kondusif dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi di antara MBI, Bond Holdings Sdn. Bhd. dan Sycal Bhd. di IICC di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings, Ong Teng Boon.

Sementara itu, Rumaizi berkata, tujuan utama kolaborasi itu diadakan adalah untuk menjayakan pengurusan IICC yang berkeluasan 28,0000 kaki persegi, merangkumi dewan bankuet yang boleh digunakan untuk acara makan malam tahunan, ceramah korporat, pameran perdagangan, bazar komuniti, persidangan bengkel dan lain-lain aktiviti.

Katanya, Bond Holdings akan menguruskan Bond Suites, iaitu suite dengan perkhidmatan yang terunggul di Ipoh.

IICC bersama suite perkhidmatan dijangka mula beroperasi dan dibuka kepada tempahan pada awal Januari tahun hadapan.-K! ONLINE

Kredit : https://www.kosmo.com.my/2020/12/29/iicc-mercu-tanda-baharu-ipoh-sebagai-pusat-perkembangan-ilmu/?fbclid=IwAR3rDkcgmAfcx8AOZYOt6MUFVgDtxwiZr8B5bdx_uluS748_U91VgArcXbw