MENU

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melantik Syarikat Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB), bagi melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dalam bandar raya Ipoh, bermula 1 Januari.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata buat permulaan perkhidmatan berkenaan akan tertumpu di zon Meru yang membabitkan 10,649 premis dan zon Manjoi membabitkan 5,696 premis.

"Untuk 1 Januari ini, kita akan mulakan dulu perkhidmatan ini di zon Meru dan pada 1 April nanti, syarikat itu akan mula beroperasi di zon Manjoi. Saya berharap perkhidmatan yang dijalankan di zon Meru dan zon Manjoi ini akan berjalan lancar seperti mana diharapkan.

"Dalam masa yang sama, ia akan diperluaskan di zon lain dalam kawasan pentadbiran MBI. Buat masa ini, kita sedang kenal pasti beberapa kawasan yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan perkhidmatan ini," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Operasi Kutipan Sampah Di Meru dan Manjoi di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain perkhidmatan berkenaan, MUMSB juga akan membekalkan kemudahan tong sampah di semua premis yang membabitkan kedua-dua zon berkenaan, bagi memudahkan proses kutipan dijalankan.

"Tong sampah itu mematuhi piawaian antarabangsa selain mempunyai roda, penutup dan dilengkapi dengan cip Radio Frequency Identification (RFI) yang berfungsi bagi mengesan lokasi tong terbabit," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sasaran untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya terbersih di Malaysia menjelang 2023 akan dapat direalisasikan, jika semua pihak berdisiplin dan mematuhi peraturan berkaitan kebersihan yang telah digariskan.

Tambahnya, sasaran itu juga secara dasarnya bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya membudayakan amalan kebersihan dan penjagaan alam sekitar, secara optimum.

"Kalau perkara ini berjaya kita realisasikan, mungkin selepas ini kita akan cuba saingi Singapura pula, yang kita semua ketahui adalah bandar raya terbersih di Asia Tenggara," katanya. – BERNAMA

Kredit : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/01/771514/mbi-lantik-mumsb-uruskan-perkhidmatan-sisa-pepejal