MENU

IPOH, 9 JAN: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan penanaman 5,000 pokok di sekitar bandar raya itu dalam usaha untuk menjadikan ia bandar raya bebas karbon menjelang 2030.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menanam 100 juta pokok di negara ini dalam tempoh lima tahun bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Program ini adalah sebahagian daripada kempen penanaman pokok yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“MBI telah memperuntukkan sebanyak 1,500 pokok untuk ditanam pada tahun ini dan akan ditambah kepada 5,000 pokok pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Gaya Hidup Sihat dan Penanaman Pokok di Padang Taman Rishah Indah di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam dan Ahli Majlis MBI, Ganesan Athinarayanan.

Dalam program tersebut, sebanyak 10 pokok Brazilwood telah ditanam di sekitar kawasan padang taman berkenaan.

Rumaizi berkata, selain menanam pokok, MBI juga mengambil langkah untuk memulihara dan mengekalkan kawasan rizab hutan bagi mengekalkan kehijauan di Ipoh.

Tambah beliau, bagi tujuan tersebut, sebanyak 10,000 pokok akan ditanam.

Kredit : https://www.suaraperak.com/mbi-tanam-5000-pokok-ke-arah-bandar-raya-bebas-karbon/