MENU

IPOH – Sebarang aduan berhubung jalan rosak atau berlubang di bandar ini yang dilaporkan akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam setelah diterima oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris), MBI sendiri mengeluarkan kos tambahan bagi menyelesaikan aduan-aduan diterima.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, komitmen itu diperkukuh menerusi peruntukan tambahan berjumlah RM200,000 yang disediakan bagi pelaksanaan kerja-kerja penampalan.

Menurut beliau, walaupun syarikat konsesi telah dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut tetapi MBI tetap memikul tanggungjawab dengan menyediakan kos tambahan.

“Apabila tiba musim hujan, kita akui memang akan berlaku banyak kerosakan dan jalan-jalan yang berlubang.

“Sebab itu kita mengarahkan pemantauan dibuat termasuk respon pada laporan untuk diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang akhbar program Komuniti Gaya Hidup Sihat dan Penanaman Pokok di Padang Taman Rishah Indah di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Rumaizi, peruntukan tambahan disediakan itu akan ditambah berdasarkan keperluan bergantung situasi semasa.

“Proses (kerja baiki jalan berlubang) ini sentiasa berterusan, hari ini kita tutup, esok jadi di tempat lain pula.

“Jadi untuk sementara ini kita sediakan RM200,000, jika terdapat banyak lagi aduan, maka akan ditambah,” katanya.

Kredit : https://www.kosmo.com.my/2021/01/09/mbi-respon-segera-aduan-jalan-rosak/