MENU

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melantik syarikat Majuperak Utilities Management Sdn. Bhd. (MUMSB) bagi melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Zon Meru bermula 1 Januari lalu.

Buat permulaan perkhidmatan berkenaan akan tertumpu di lokaliti tersebut membabitkan dua zon iaitu di Meru dengan 10,649 premis dan 5,696 premis di Manjoi.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, MBI memulakan perkhidmatan ini di zon Meru diikuti zon Manjoi pada 1 April nanti melibatkan 5,696 premis.

“Saya berharap perkhidmatan yang dijalankan di zon Meru dan zon Manjoi ini akan berjalan lancar sepertimana yang dirancang.

“Justeru, bagi merealisasikan sasaran Ipoh bandar raya terbersih menjelang 2023, maka kerjasama semua pihak adalah amat penting dalam membudayakan amalan kebersihan dan penjagaan alam sekitar secara optimum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari di Dewan Mesyuarat MBI di sini semalam.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Ahli-Ahli Majlis MBI dan pegawai-pegawai kanan pelbagai jabatan MBI.

Dalam ucapannya, Rumaizi turut memberitahu rancangan MBI untuk melancarkan program penyerahan tong sampah beroda bersaiz 120 liter kepada 20,000 kediaman dan premis di bandar ini secara berperingkat-peringkat bermula Mac nanti.

Menerusi program ini semua premis perniagaan dan perumahan akan menyediakan tong sampah sendiri menjelang tahun 2023.

Dalam pada itu katanya, pihak MBI juga akan menyediakan perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal dari premis kediaman mulai bulan April ini sebagai inisiatif kepada warga kota.

“Untuk itu MBI akan membeli sebanyak 14 lori terbuka dengan muatan lapan tan yang baru serta melantik seramai 14 pemandu dan 56 orang petugas bagi menjalankan kerja-kerja kutipan sampah kebun dan pukal dari premis kediaman mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Kita juga akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta sebagai permulaan bagi meningkatkan tahap infrastruktur dan kemudahan di medan selera dan pasar awam milik MBI di sekitar bandar ini,” ujarnya.

 

Kredit : https://www.kosmo.com.my/2021/01/28/mbi-sasar-ipoh-bandar-raya-terbersih-pada-2023/