IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bawah program MBI Prihatin menyantuni rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Baitul Aini dengan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan di sini, pagi tadi. 
 
Sumbangan ini turut mendapat kerjasama Pasaraya Econsave yang membantu menyediakan barangan bernilai RM2,000 antaranya, beras, gula, minyak masak, susu dan biskut. 
 
Ahli Majlis MBI (Zon 16), Datuk Ahmad Hariri Kamarudin berkata, bantuan barangan makanan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka. 
 
Menurutnya, MBI turut menyampaikan wang tunai RM1,000 untuk menampung keperluan 18 penghuni rumah tersebut yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja lelaki berusia antara enam sehingga 17 tahun. 
 
Ahmad Hariri ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan MBI Prihatin di sini, pagi tadi. Hadir sama, Pengurus Pasaraya Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. 
 
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Baitul Aini, Datin Noraini Abdullah mengucapkan terima kasih kepada MBI yang sering menyalurkan bantuan dan kerjasama bagi memastikan kehidupan penghuni di rumah tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik. 
 
"Kami amat terharu dan bersyukur dengan keprihatinan MBI yang tidak pernah jemu membantu pertubuhan ini dalam pelbagai bentuk," katanya.