MENU
Pada 12 April 2021, YB Dato' Nolee Ashilin binti Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak melancarkan Ipohpedia di Hotel Weil, Ipoh.
 
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg.Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh.
 
 
Ipohpedia adalah platform digital yang dibangunkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertujuan untuk menyalurkan maklumat berhubung tarikan, aktiviti, perkhidmatan serta pendokumentasian mengenai pembangunan dan warisan bandaraya Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, MBI melalui Jabatan Perancang Bandar melaksanakan sistem dokumentasi berbentuk digital elemen warisan bandaraya ini secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Ipoh ke arah Bandar Pintar.

Menurutnya, Ipohpedia boleh digunakan sebagai panduan umum serta membolehkan pelancong memuat turun maklumat secara atas talian bagi mereka yang ingin mendapatkan informasi mengenai Ipoh.

“Secara tidak langsung, Ipohpedia membantu mempromosikan bandaraya Ipoh menerusi alam maya kepada mereka sama ada yang berada di dalam atau luar negara melalui integrasi maklumat serta kandungan digital yang dimuatkan.

“Pelajar dan penyelidik juga boleh menggunakan Ipohpedia sebagai sumber rujukan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai fungsi bandar warisan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan laman sesawang Ipohpedia di Hotel Weil, di sini. Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi @ Md Daud.

Katanya, setakat ini MBI hanya memuatkan maklumat berhubung 33 buah bangunan di sekitar bandaraya ini antaranya, Stesen Keretapi, bangunan OCBC dan Dewan Bandaran Ipoh (Ipoh Town Hall).

“Nombor 33 dipilih sebagai simbolik sempena MBI mencapai 33 tahun dalam perkhidmatan perbandaran. Bagaimanapun, MBI akan menambah jumlah bangunan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, MBI turut bercadang untuk mewujudkan Ipohpedia One Stop Centre di Pejabat Pos Lama Ipoh dan akan dijadikan sebagai pusat sehenti pertama di Ipoh yang mempunyai satu sistem pengurusan rekod eletronik dan perkongsian maklumat mengenai warisan bangunan dan budaya.

Kredit : https://peraktastic.com/p1/index.php/pelancongan/624-ipohpedia-platform-digital-maklumat-bangunan-warisan-terkenal-bandaraya-ipoh.html