MENU

13 April 2021 - Pasukan MAKSAK Perak telah berjaya mendapat tempat ketiga di Kejohanan Bola Sepak MAKSAK Malaysia 2021, selepas tewas 1-0 kepada Pasukan MAKSAK Terengganu di peringkat  separuh akhir yang telah berlangsung di Padang Pelabuhan (A), Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Kekalahan tersebut menyaksikan pasukan MAKSAK Perak berjaya menduduki tempat ke-3 bersama Pasukan MAKSAK ATM dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta medal.
Johan adalah milik Pasukan MAKSAK Johor yang telah menewaskan pasukan MAKSAK Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 di Perlawanan akhir setelah terikat 1-1 dalam masa penuh permainan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan MAKSAK Perak, Musa Dun berkata, kejayaan meraih tempat ketiga dan berada di kelompok 4 pasukan terbaik di kejohanan ini adalah  pencapaian yang disasarkan oleh pihaknya bagi penyertaan kali ini.

Menurut beliau, semua pasukan yang telah menyertai kejohanan ini membariskan pemain yang berpengalaman dan terbaik serta sentiasa memberikan cabaran hebat apabila bertemu pasukan MAKSAK Perak.

"Syukur Alhamdulillah, berkat usaha berpasukan dan disiplin ketat yang diterapkan dalam pasukan ini telah berjaya membuahkan hasil.
Ucapan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Sukan Bolasepak MAKSAK Perak 2021-2022, Y.Bhg. Dato'  Rumaizi Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh yang telah memberikan kepercayaan untuk kami menggalas tanggungjawab ini, disamping sokongan serta galakan berterusan yang telah diberikan, " katanya.

Bagi saingan kejohanan sama pada tahun 2019 yang lalu,  pasukan MAKSAK Perak telah tewas di peringkat suku akhir.

Semoga Pasukan MAKSAK Perak akan memperolehi kejayaan yang lebih cemerlang di kejohanan yang akan datang.