MENU

IPOH, 13 April – Lebih 100 orang peniaga di bazar Ramadan Stadium Perak di sini menggunakan aplikasi ‘bayaran tanpa tunai’ atau e-wallet.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Maybank Berhad, sejajar dengan program Bandar Pintar Ipoh 2030.

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, aplikasi itu merupakan ‘pilot project’ sebelum diperluaskan penggunaannya di medan selera dan gerai-gerai di bandar raya ini.

“Kita cuba dulu pelaksanaan ‘e-wallet’ di bazar Ramadan, lepas raya mungkin kita akan perluaskan di beberapa medan selera dan gerai-gerai termasuk pasar.

“Kita lihat dahulu bagaimana respon orang ramai dan peniaga, di samping mengambil maklum sebarang aduan atau penambahbaikan yang perlu untuk aplikasi ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran E-Wallet Maybank Bazar Ramadan MBI, di sini pada Selasa.

Yang turut hadir, Pengarah Serantau Maybank Perak, Munirah Che Rose.

Dalam pada itu, Rumaizi menambah program ini merupakan salah satu ‘quick win’ di dalam pelaksanaan projek Bandar Pintar Ipoh.

Selain menggalakkan penggunaan transaksi secara digital untuk setiap pembelian barangan atau perkhidmatan.

Ia turut memberikan insentif khusus buat peniaga dan pembeli, termasuk potongan harga untuk setiap dua kali pembelian.

“Pengguna tidak perlu membawa wang yang banyak untuk berbelanja serta mempercepatkan transaksi.

“Selain mengurangkan risiko penipuan disebabkan oleh rekod perbelanjaan dapat dijejak dengan mudah serta rebat bagi menggalakkan penggunaan e-wallet,”katanya.

Selain itu insentif kepada peniaga membabitkan jumlah bayaran diterima pada masa yang sama waktu pembayaran.

Mereka juga layak untuk memenangi RM500 untuk setiap jualan tertinggi setiap minggu dan RM1500 untuk hadiah utama (jumlah jualan tertinggi).

Manakala pembeli akan menerima 20 peratus potongan harga untuk setiap dua kali pembelian.

Kredit : https://www.suaraperak.my/perluas-e-wallet-di-medan-selera-gerai/?fbclid=IwAR1a2Xif3tLvOFNItgnS006BKUZz9fgVcehyjuF6nX7eqVYqD-cmlCNVmUc