MENU
26 Ogos 2021-Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya MBI telah mengadakan sidang akhbar mengenai Perpustakaan Tun Razak (PTR) yang berwajah baharu dengan lukisan mural menarik di bahagian luar dinding Perpustakaan Tun Razak pagi tadi. Pada masa yang sama, beliau turut melawat dan meninjau operasi PTR.
 
Projek lukisan mural di dinding PTR ini dilaksanakan oleh pelukis tempatan bermula pada awal Ogos lalu dan berjaya disiapkan dalam tempoh 3 minggu.
 
Konsep yang diketengahkan tidak lari daripada fungsi perpustakaan itu sendiri sebagai tempat menimba ilmu diketengahkan dengan gambar-gambar buku berbentuk 3D dan juga perkataan Iqra' di pintu masuk di samping menerapkan konsep "smart city" dengan lukisan gajet moden dan seumpamanya.
 
Idea mewujudkan lukisan mural sebagai tarikan terkini di PTR adalah bagi tujuan menarik pengunjung/ pelancong tempatan untuk datang ke perpustakaan ini mengikut trend semasa yang mana pengunjung suka bergambar atau "selfie " seterusnya berkongsi gambar tersebut di media sosial.
 
Lukisan mural di PTR ini juga akan menjadikan PTR sebagai satu lagi mercu tanda yang menarik di Bandaraya Ipoh dan sebagai satu usaha untuk mempromosi PTR kepada umum.
 
Semoga ia akan menjadi satu lagi tarikan terkini di Bandaraya Ipoh selain daripada beberapa lokasi lain yang telah dan sedang dibangunkan seperti Petting Zoo di Gunung Lang, Kinta Riverwalk dan juga Projek Pencahayaan di Padang Ipoh.