MENU
1 September 2021-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh bersama Tuan Haji Ir. Mohd Azhar Bin Abd Rashid Ketua Retail Negeri (Perak) Tenaga Nasional Berhad telah meninjau bumbung Panel Solar di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak pagi tadi.
 
Pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di Bangunan UTC Perak ini telah siap sepenuhnya pada hujung Julai lalu. Projek tersebut dianggarkan mampu memberi penjimatan sehingga RM2.5 juta untuk MBI bagi tempoh 21 tahun kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE).
 
Penggunaan panel solar PV ini bukan sahaja bertepatan dengan usaha MBI untuk mencapai matlamat menjadi bandaraya pintar lestari dan rendah karbon yang lebih bersih, hijau dan lebih maju malah mampu menjimatkan RM47,964 bil elektrik pada tahun pertama projek.
 
Pada bulan Ogos 2021, dengan menggunakan sistem solar ini Bangunan UTC telah dapat menjimatkan sebanyak 22% bil TNB dari data yang direkodkan. Ia secara tidak langsung bakal merealisasikan hasrat MBI untuk menjadikan Ipoh bandaraya pintar dan rendah karbon keempat negara menjelang tahun 2030.
 
Pada 23 Mac lalu, MBI telah menandatangani MOU bersama Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat GSPARX untuk pemasangan bumbung Panel Solar di UTC Perak.
 
Untuk makluman, satu Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon telah dihasilkan menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk TNB bagi mencapai tujuan tersebut.
 
Kerjasama berkenaan membolehkan Ipoh dibangunkan secara integrasi bukan berasingan. Selepas ini, banyak perkara akan dibangunkan untuk warga bandar raya hidup dengan aplikasi teknologi.