MENU
11 September 2021- Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah mengadakan lawatan dan Sidang Media mengenai projek Pertanian Bandar “Urban Farming” di Kaki Gunung Masoorat, Ipoh, Perak bersama pimpinan pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang berkolabarasi bersama Green Valley Agriculture (Tanaman Hidroponik dan Fertigasi) dan Rymba Management & Leisure Sdn Bhd (Rock Climbing) yang mana kawasan kaki Gunung Masoorat akan dijadikan salah satu tempat Eko-Pelancongan yang akan menarik para pengunjung.
 
Antara yang hadir ialah Encik Noorasidi bin Mohamed Noordin, Pengurus Besar Operasi dan Perladangan PPPNP, Encik Lim Vee Shen Pengusaha Rumah Hijau Green Valley Agriculture (Tanaman Hidroponik & Fertigasi), Clr Norul Huda binti Ahmad Nator, Ahli Majlis MBI, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya dan Tuan Haji Khairul Anuar bin Lodin, Pengarah Kanan-Teknikal MBI.
 
Projek Pertanian Bandar di Kaki Gunung Masoorat merupakan salah satu daripada kajian pertama “Pilot Survey”. Melalui cadangan Tanaman Hidroponik dan Fertigasi yang akan dilaksanakan di kawasan kaki Gunung Masoorat ini diharap dapat menyokong usaha Kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan Negara. Idea konsep pertanian bandar ini tercetus semasa penularan wabak COVID-19. Ini disebabkan tiada pergerakan import dan eksport bahan-bahan mentah yang menyebabkan berlakunya kekurangan sumber makanan. Di dalam Akhbar Utusan Malaysia pada 10 September 2021 ada menyatakan bahawa Malaysia bakal mengalami krisis keselamatan makanan jika kadar defisit eksport dan import meningkat kepada 35 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang akibat terlalu bergantung bekalan dari negara-negara lain. Ketika ini, Malaysia mengalami kadar defisit 24.9 peratus atau RM21.7 bilion apabila mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion pada tahun lalu. Selain itu, ramai penduduk kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Jadi, ini merupakan salah satu cara untuk membantu penduduk dan meningkatkan hasil ekonomi melalui konsep pertanian bandar.
 
Secara umumnya, Pelaksanaan Garis Panduan Pertanian Bandar dan Kebun Komuniti Bandar bagi Majlis Bandaraya Ipoh dapat menyemarakkan lagi aktiviti perkebunan masyarakat bandar selaras dengan Dasar Kebun Komuniti Bandar di peringkat Nasional yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pusat - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 3 Ogos 2021.
 
Garis Panduan Pertanian Bandar bagi Majlis Bandaraya Ipoh merupakan penanaman dan penternakan secara intensif dalam bandar dan kawasan sekitarnya. Keluasan tapak adalah berskala besar iaitu minimum 0.4 hektar manakala Garis Panduan Kebun Komuniti Bandar adalah kawasan tanah yang diurus oleh penduduk setempat mengikut cara sendiri. Keluasan tapak adalah berskala kecil iaitu maksimum kurang daripada 0.4 hektar dan pemohon perlu memohon sebagai satu komuniti dan bukan secara individu.
 
Antara lokasi yang dibenarkan bagi Garis Panduan Pertanian Bandar ialah Kaki Gunung, Rizab Sungai, Rizab Rentis TNB, Hutan Tanah Kerajaan dan Tanah Rizab MBI dengan mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM Aktiviti – KM20) melalui Unit Pusat Setempat (OSC). Bagi Garis Panduan Kebun Komuniti Bandar pula antara lokasi yang dibenarkan ialah Tanah Bekas Lombong, Zon Penampan, Kawasan Lapang yang tidak aktif, Rizab Jalan belum dibina dan Rizab Simpanan Khas dengan mengisi borong permohonan di Jabatan Perancang Bandar mulai 1 Oktober 2021 (Jumaat).
 
Dengan wujudnya garis panduan ini, ia diharap dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian sebagai penyumbang terus kepada kesejahteraan serta keceriaan persekitaran bandar. Projek ini juga dapat menyelaras kerjasama di antara agensi serta mewujudkan platform bagi menggalakkan penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan Pertanian Bandar dan Kebun Komuniti Bandar sekaligus dapat memenuhi hasrat Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh dalam menjadikan “Ipoh Bandaraya Terbersih 2023”.