MENU
16 SEPTEMBER 2021-YB Dato' Nolee Ashilin binti Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak telah merasmikan tempat 'rehat dan rawat rider' (3R) yang lengkap dengan kemudahan ruang rehat, solat, tandas dan wifi percuma di sebelah Bangunan MBI pagi tadi. Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh.
 
Tujuh tempat 3R telah dibina di Bandaraya Ipoh yang melibatkan peruntukan hampir RM500,000. Pembinaan tempat 3R yang pertama di Malaysia ini adalah penghargaan kepada penghantar makanan yang memainkan peranan penting sebagai antara kumpulan barisan hadapan sejak pandemik COVID-19 bermula tahun lalu.
 
Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil inisiatif untuk membina tujuh buah tempat berteduh agar penghantar makanan boleh berkumpul, berehat, berkumpul berbincang, mesyuarat kecil serta solat di situ.
 
Ini juga adalah salah satu cara untuk memberi penghargaan kepada penghantar makanan kerana merupakan sebahagian daripada frontliners.
 
Tujuh lokasi tempat 3R yang telah dibina di sekitar Ipoh ialah di Pusat Bandar, Meru Raya, Jelapang, Medan Gopeng, Klebang, Station 18 dan Taman Ipoh. 4 lokasi telah siap dibina iaitu di Pusat Bandar, Meru Raya, Jelapang dan Medan Gopeng manakala 3 lokasi lagi masih belum siap (85%) iaitu Station 18, Klebang dan Taman Ipoh. 3 lokasi tersebut dijangka siap sepenuhnya pada penghujung September ini dan boleh mula beroperasi pada awal bulan Oktober 2021.
 
Kemudahan tersebut akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 penghantar makanan di Bandaraya Ipoh.
 
Pembinaan tempat 3R ini juga adalah sebahagian daripada Rancangan Kerajaan Negeri Perak melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa 5 yang diumumkan pada Disember lalu.