MENU
15 Januari 2022 - Keunikan bandaraya Ipoh sebagai bandar pelancongan warisan akan diperkasakan menerusi Pelancaran Kinta Riverwalk yang dijangka dapat meningkatkan lagi kehadiran pelancong tempatan dan luar ke Bandaraya Ipoh.
 
Ia juga secara tidak langsung akan melahirkan peluang perniagaan baru bagi peniaga kecil serta menjana ekonomi peniaga-peniaga sediada di kawasan ini.
 
Pembangunan Kinta Riverwalk adalah kesinambungan Ipoh Heritage Trail yang telah dibangunkan sebelum ini bagi mewujudkan tarikan pelancongan di pusat bandaraya atau lebih tepat lagi dikenali Segitiga Pelancongan Bandaraya Ipoh.
 
Pembangunan ini akan menjadi pelengkap kepada perancangan Kawasan Pelancongan Pekan Lama seperti digariskan di dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan Ipoh Walkable City serta Rancangan Tempatan Ipoh 2035.
 
Projek ini yang dibahagikan kepada tiga lokasi iaitu dihadapan Hotel Kinta Riverfront bermula dari Jambatan Jalan Raja Musa Aziz sehingga Jambatan Jalan Lim Bo Seng sepanjang 1,600 meter dibiayai melalui peruntukan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM3 juta.
 
Seterusnya berdekatan Restoran Hadramout bermula dari Jambatan Lim Bo Seng sehingga ke Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sepanjang 195 meter pula akan dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500 ribu.
 
Akhir sekali berdekatan kawasan Pekan Lama bermula dari Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sehingga ke Lorong Hale sepanjang 280 meter pula akan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM500 ribu.
 
Pra pelancaran Kinta Riverwalk sempena Sambutan Tahun Baru 2022 pada 31 Disember lalu telah mendapat sambutan meriah daripada para pengunjung.
 
Antara keunikan yang terdapat di sini adalah terdapatnya tiga buah jambatan ikonik yang mana dua daripadanya berkonsepkan ‘Glow In The Dark’ atau bercahaya dalam gelap. Selain itu, terdapat juga ikon perniagaan yang berkonsepkan Hipster, Heritage & Health (3H).
 
YB Dato' Nolee Ashilin binti Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan & Pelancongan Negeri Perak telah melancarkan Kinta Riverwalk malam tadi yang turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Encik Hasri bin A.Hasan, Ketua Pegawai Operasi NCIA, Clr. Tuan Mahader Ahmad Bin Mohd Ayob, Ahli Majlis MBI dan Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya.
 
Semoga ia akan menjadi tarikan terkini pelancong dari dalam dan luar negeri ke Bandaraya Ipoh dalam membantu meningkatkan sektor pelancongan di negeri Perak amnya dan Bandaraya Ipoh khususnya.