Written by admin mbi on . Posted in Important Highlights.

MAJLIS BANDARAYA IPOH TERIMA KUNJUNGAN HORMAT YAYASAN HASANAH DAN THINK CITY

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Hasanah dan Think City bagi membincangkan potensi kerjasama dalam memperkukuh agenda pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan mesra warga emas.

Delegasi Yayasan Hasanah diketuai oleh YBhg. Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, bersama En. Stanley Siva, Ketua Sosial Enterprise; Dr. Azimah Pilus, Penasihat Aged Care Economy; En. Lakshwin Muruga, Ketua Pembangunan Komuniti; serta Puan Norita Mohd. Bakri, Pegawai Khas kepada Pengarah Urusan Yayasan Hasanah.

Turut hadir wakil Think City, iaitu En. Kishore Ramdass, Pengurus Kanan Think City dan Puan Rose Afrina Mansor, Pengurus Think City.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran TPr. Dr. Haji Zulqarnain Mohamad, Ketua Eksekutif baharu Institut Darul Ridzuan (IDR), yang sebelum ini mengetuai Unit Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat, Majlis Bandaraya Ipoh dan terus menyokong kesinambungan kerjasama strategik antara IDR, Yayasan Hasanah dan MBI.

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Tuan A'zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Ipoh, di Bilik VIP, Bilik Bunga Raya, sebelum delegasi dibawa ke Dewan Azlan Shah bagi meneruskan sesi kunjungan hormat.

Sesi perkongsian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh TPr Haji Mohd Zainal bin Abdul Hamid, Pengarah Perancangan Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, yang mewakili YBhg. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh. Dalam ucapan tersebut, beliau mengalu-alukan kehadiran delegasi serta menzahirkan penghargaan atas jalinan kerjasama yang telah lama terjalin antara MBI, Yayasan Hasanah, Think City dan Institut Darul Ridzuan (IDR) dalam memacu pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

Program diteruskan dengan sesi pembentangan dan perkongsian oleh YBhg. Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, berkaitan perkembangan pelaksanaan Sandbox Penjagaan Warga Emas Ipoh, termasuk dapatan awal, cabaran pelaksanaan, pendekatan penggubalan dasar berasaskan data (data-driven policymaking) serta potensi pembangunan Silver Economy sebagai pemangkin kepada ekosistem penjagaan warga emas yang lebih mampan dan inklusif.

Dalam sesi perbincangan, Majlis Bandaraya Ipoh turut berkongsi peranan sebagai pemudah cara dalam menyokong pelaksanaan Sandbox Penjagaan Warga Emas Ipoh, khususnya melalui aspek perancangan bandar, penyediaan infrastruktur, kemudahan awam yang mesra warga emas serta urusan Kebenaran Merancang (KM) dan pelesenan.

Selain itu, MBI turut mencadangkan agar Yayasan Hasanah mempertimbangkan pewujudan instrumen sokongan kewangan bagi menggalakkan pembangunan perusahaan dan keusahawanan dalam sektor penjagaan warga emas. Inisiatif ini berpotensi merangsang pertumbuhan Silver Economy, di samping menggalakkan lebih banyak pengusaha mendapatkan lesen perniagaan secara sah serta memperkukuh ekosistem penjagaan warga emas yang lebih tersusun dan mampan.

Dalam sesi perkongsian, Institut Darul Ridzuan (IDR) turut memuji usaha MBI dalam memperkukuh kelestarian bandar melalui pelbagai inisiatif perancangan, termasuk penyediaan Ipoh Walkable City Plan yang mengambil kira prinsip Universal Design bagi meningkatkan keselesaan dan kebolehcapaian semua lapisan masyarakat, khususnya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, Jabatan Perancangan Bandar MBI kini dalam proses menyediakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang berkaitan sebagai langkah memperkukuh ekosistem bandar yang lebih kondusif. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan kepentingan persediaan awal dalam menghadapi cabaran serta peluang akibat perubahan demografi.

Pertemuan ini turut mencerminkan kesinambungan kerjasama yang telah lama terjalin antara MBI, Yayasan Hasanah, Institut Darul Ridzuan (IDR), Sunway Centre for Planetary Health (SCPH) dan Think City melalui pelaksanaan inisiatif Ipoh Bandar Ekonomi Donat, yang dimasyhurkan menerusi pelancaran “Ipoh Doughnut Economics: A City Portrait in Action 2025–2030” sempena ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) 2025.

Majlis Bandaraya Ipoh sentiasa mengalu-alukan serta menghargai jalinan kerjasama bersama rakan-rakan strategik dalam merealisasikan agenda pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan seluruh warga Bandaraya Ipoh.

758964524 1436344841851365 1961201006532128671 N
758964663 1436344875184695 45728420691289861 N
758997095 1436344868518029 1912302630646353537 N
759964945 1436344901851359 3844196495202320896 N
760671556 1436344895184693 7492906793701158043 N
761236977 1436344831851366 6238285259192226381 N