Written by admin mbi on . Posted in Important Highlights.

MAJLIS PERASMIAN PUSAT TEMU DUGA SPA DI UTC PERAK, IPOH

IPOH, 27 Oktober 2025 – YBhg. Dato’ Seri Dr. Ahmad Jailaini bin Muhamed Yunus, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA Ipoh yang bertempat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak pada petang ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, serta wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

Dalam majlis yang sama, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh turut menerima Sijil Penghargaan sebagai Rakan Strategik atas sumbangan dan kerjasama MBI dalam membantu menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian PTD SPA Ipoh.

Pusat Temu Duga (PTD) SPA Ipoh mula beroperasi di UTC Perak sejak tahun 2016 di lot asal bernombor 29 dan 31. Namun, pada 16 Disember 2023, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar ruang di UTC disusun semula bagi menambah keselesaan pengunjung serta meningkatkan kecekapan operasi agensi kerajaan. Susulan itu, kerja-kerja pengubahsuaian bagi lot baharu PTD SPA telah bermula pada 13 Disember 2024 dan siap sepenuhnya pada 30 Mac 2025. PTD SPA Ipoh mula beroperasi secara rasmi di lokasi baharu di Lot 42 dan 43, Aras 3, UTC Perak mulai 14 April 2025.

Pusat temu duga ini menyediakan kemudahan temu duga yang lebih kondusif dan profesional kepada calon-calon dari seluruh negeri Perak serta dilengkapi dengan ruang temu duga, ruang menunggu, bilik rehat panel temu duga dan kemudahan tambahan lain bagi memastikan pengalaman temu duga yang lebih selesa dan efisien. Selain menjadi lokasi temu duga diadakan, pusat ini juga menyediakan kemudahan internet kepada calon untuk menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) termasuk Ujian Psikometrik dan konsultasi berkaitan Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA9 serta pelbagai perkhidmatan lain.

Penganjuran majlis perasmian ini bertujuan menandakan pelancaran rasmi PTD SPA di lokasi baharu. Selain itu, ia juga menjadi platform pemakluman kepada calon-calon di negeri Perak serta penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang terlibat dalam proses pemindahan dan penyediaan infrastruktur.

Pemindahan PTD SPA ke lokasi baharu ini mencerminkan komitmen berterusan Suruhanjaya untuk meningkatkan kecekapan proses pengambilan pegawai awam serta memastikan keselesaan calon semasa menghadiri temu duga. Ia juga menzahirkan usaha SPA memperkukuh jaringan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dengan menyediakan kemudahan kerjaya yang mudah diakses, selesa dan inklusif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Kehadiran YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh turut menyerlahkan kerjasama erat antara SPA dan MBI dalam memastikan pelaksanaan urusan pengambilan perkhidmatan awam di negeri Perak berjalan lancar dan berkesan.

571211625 1211466327672552 7745770211358468030 N
571330133 1211466291005889 395797268994323033 N
571339485 1211466251005893 4159293165293416740 N
572915167 1211466244339227 7224744413991212974 N
574064166 1211466297672555 6182375440144323514 N