Written by admin mbi on . Posted in Latest Info.

KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-69 DAN HARI MALAYSIA TAHUN 2026

Ipoh, 30 Julai 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyeru semua pemilik bangunan, premis perniagaan, firma, kilang serta kediaman persendirian dalam kawasan pentadbiran MBI supaya bersama-sama menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 dan Hari Malaysia Tahun 2026.

Bersempena sambutan tahun ini, tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” telah dipilih bagi melambangkan iltizam berterusan dalam memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat patriotisme serta menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi bersama.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sepanjang tempoh 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Inisiatif ini bukan sahaja dapat menceriakan suasana bandar raya, malah menjadi manifestasi rasa cinta, bangga dan setia kepada negara.

Pemilik premis turut disarankan memperindah kawasan masing-masing menerusi pencahayaan yang bersesuaian, landskap yang menarik serta memastikan aspek kebersihan dan keceriaan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Bagi memastikan pemasangan bendera dilaksanakan dengan betul dan penuh penghormatan, orang ramai hendaklah mematuhi susunan bendera yang ditetapkan.

Bagi premis yang mempunyai dua tiang bendera, Jalur Gemilang hendaklah diletakkan bersama bendera negeri. Bagi tiga tiang bendera pula, susunannya ialah bendera negeri, Jalur Gemilang dan bendera institusi atau jabatan, berdasarkan pandangan dari luar bangunan.

Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, berharap semua pihak dapat memberikan sokongan, komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan kempen ini.

Pengibaran Jalur Gemilang merupakan simbol kecintaan dan kebanggaan kita terhadap negara.

Marilah kita bersama-sama menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan serta memperlihatkan semangat perpaduan dalam kalangan warga bandar raya Ipoh.

MBI merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sokongan serta kerjasama semua pihak dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2026.