MENU
5 Oktober 2021- Aktiviti Pengumpulan Sisa Elektrik Pengumpulan Sisa Elektrik Dan Elektronik (E-Waste) Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh Sempena Hari Alam Sekitar Tahun 2021 diadakan bagi menjayakan Kempen Pengumpulan Sisa E-Waste oleh JAS Perak melalui Pertandingan yang melibatkan PBT bermula pada 10 September 2021 dan tamat pada 21 Oktober 2021 iaitu pada tarikh Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat negeri Perak Tahun 2021.
 
Ia telah dilancarkan oleh Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya pagi tadi. Ia turut dihadiri oleh Encik Rizal bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Ahli Majlis, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan, Pegawai dan anggota MBI.
 
Tema sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 ialah “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” yang mana melalui penganjurannya diharap dapat mewujudkan satu jalinan kerjasama di antara agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha-usaha pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar di Negeri Perak.
 
Ia seterusnya diharap dapat menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar selaras dengan dasar kerajaan negeri melalui tema “PERAK BUMI LESTARI”.
 
Matlamat penganjuran program pengumpulan buangan elektrik dan elektrik (e-waste) ini adalah untuk:
 
(i) Meningkatkan kesedaran orang awam akan tanggungjawab terhadap pengurusan buangan e-waste dengan cara yang selamat dan mesra alam;
 
(ii) Memperkukuhkan kerjasama antara pengeluar / penjual / pengedar barangan elektrik dan elektronik serta penglibatan agensi kerajaan mengenai kepentingan untuk bertanggungjawab terhadap pengurusan e-waste;
 
(iii) Membudayakan masyarakat untuk menguruskan buangan e-waste secara mesra alam dan lestari; dan
 
(iv) Memastikan buangan e-waste diuruskan dengan cara yang mesra alam mengikut Peraturan-Peraturan Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
 
E-Waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dibawah kod SW 110, Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974. Didalam Kod SW 110, E-Waste merupakan buangan daripada pemasangan elektrik dan elektronik.
 
Kesan kandungan sisa Elektronik terhadap kesihatan adalah seperti plumbum yang boleh mengakibatkan perkembangan otak terjejas, Berilium yang mana boleh menyebabkan kanser paru-paru dan penyakit kulit, Kadmium yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan hati serta kerosakan saraf dan lain-lain.
Sistem pengurusan E-waste yang sempurna selain dapat menjamin tahap kesihatan manusia, ia juga dapat memelihara bumi daripada pencemaran ianya mengandungi logam berharga yang mempunyai nilai kitar semula yang tinggi yang boleh menjana ekonomi negara.
 
Di Majlis Bandaraya Ipoh, program ini akan dilaksanakan secara berperingkat, yang mana peringkat permulaan ianya akan melibatkan anggota Majlis Bandaraya Ipoh di lima lokasi terpilih:-
Lokasi, Tarikh dan masa adalah seperti berikut:
 
1. Persiaran Bougainvillea (Pandu lalu)
5-6 Oktober 2021
7.30 am - 11.00 am
 
2. Bahagian Perkhidmatan Bandar
7 Oktober 2021
8.00 am - 11.00 am
 
3. Taman Rekreasi Gunung Lang
8 Oktober 2021
8.00 am - 11.00 am
 
4. Perpustakaan Tun Razak
13 Oktober 2021
8.00 am - 11.00 am
 
5. Pejabat Lama MBI
14 & 15 Oktober 2021
8.00 am - 11.00 am
 
Peringkat seterusnya pula akan melibatkan komuniti yang diketuai oleh Ahli Majlis di 24 zon bersama kontraktor pengumpulan E-Waste berlesen yang telah dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar untuk Majlis Bandaraya Ipoh iaitu Syarikat Edsha Solution Sdn. Bhd.
 
Sehingga 5 Oktober 2021, pihak syarikat dengan kerjasama komuniti peniaga, penduduk dan JAS telah mengumpul sebanyak 6 metrik tan sisa E- Waste di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh dan sasaran yang ditetapkan oleh pihak JAS Perak adalah 10 metrik tan E-Waste perlu dikutip oleh setiap PBT.