MENU
17 September 2021-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh melawat Gerbang Malam malam tadi. Lawatan tersebut bagi meninjau operasi Gerbang Malam sejak pembukaan semula pada 15 September 2021.
 
MBI hanya membenarkan penggiliran 120 peniaga mengikut nombor genap (60 peniaga) & ganjil (60 peniaga) menjalankan perniagaan barangan am, barangan terpakai, kasut, baju, kosmetik, perhiasan wanita dan lain-lain di Gerbang Malam yang menjadi antara tarikan di bandaraya Ipoh sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
 
Untuk makluman, perkhidmatan refleksologi dan uji cuba bagi jualan kasut dan pakaian tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PPN ini.
 
Selain itu, setiap gerai yang dibenarkan beroperasi perlu berjarak 3 meter antara satu sama lain bagi memastikan penjarakkan sosial untuk mengelak penularan wabak Covid-19.
 
Para pengunjung yang memasuki kawasan ini juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan mengikut aliran jalan yang telah ditentukan oleh MBI.
 
Gerbang Malam telah dibuka semula pada 15 September 2021 sejak ditutup pada Jun 2021 kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Walaupun kehadiran pengunjung amat dialu-alukan namun pihak MBI tidak menggalakkan warga emas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk mengunjungi kawasan berkenaan kerana mereka adalah golongan berisiko dijangkiti Covid-19.
 
MBI berharap para pengunjung sentiasa peka dan tidak mengambil mudah setiap SOP yang ditetapkan walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan sepanjang tempoh PPN ini.
Kita masih terus perlu berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
 
Waktu operasi Gerbang Malam adalah 6.00 petang hingga 10.00 malam.
 
Semoga pembukaan semula Gerbang Malam ini akan membantu memulihkan ekonomi serta meringankan beban para peniaga dalam tempoh pandemik Covid-19.