MENU
14 September 2021 - Majlis Bandaraya Ipoh memohon maaf di atas gangguan kepada perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar Bandaraya Ipoh pada masa ini.
 
Ini berikutan terdapat beberapa pekerja syarikat konsesi LTC Alam Bersih Sdn Bhd telah disahkan positif Covid-19 sejak hujung minggu lalu sehingga sekarang dan sebahagian lagi pekerja syarikat ini yang tinggal di asrama pekerja juga adalah kontak rapat kepada kes ini dan telah pun diarah menjalani proses kuarantin.
Sehubungan itu, jadual perkhidmatan kutipan sampah yang diuruskan oleh pihak syarikat konsesi LTC Alam Bersih Sdn Bhd di kawasan bandaraya Ipoh telah terganggu.
 
Walau bagaimanapun, pihak Majlis akan sentiasa memastikan perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam tidak menimbulkan banyak masalah serta akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah tersebut.
 
Kerjasama daripada wargakota Ipoh adalah dipohon untuk meletakkan sampah domestik di dalam tong sampah masing masing bagi memudahkan proses kutipan sampah ini diuruskan oleh pihak Majlis selanjutnya.
 
Dimaklumkan juga, terdapat sebahagian anggota di Bahagian Perkhidmatan Bandar MBI telah turut disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin.
 
Wargakota Ipoh boleh menghubungi talian hotline MBI 05-2551515 atau whatsapp 019-5503083 jika menghadapi sebarang masalah kutipan sampah dan pembersihan.
 
MAJLIS BANDARAYA IPOH